top of page

Penampang carta teratas peperiksaan SPM Sabah, Ewon salur RM150,000 hargai peranan guru dan ibu bapa

  • nabalunews
  • 2 hours ago
  • 1 min read

11 April 2026


PENAMPANG: Ahli Parlimen Penampang, Datuk Ewon Benedick menyalurkan peruntukan sebanyak RM150,000 kepada persatuan ibu bapa dan guru (PIBG) sekolah menengah kawasan Penampang atas peranan melonjakkan pendidikan sehingga Penampang muncul antara yang terbaik dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2025.


Beliau berkata, kejayaan itu didorong oleh komitmen tinggi semua sekolah di bawah pentadbiran Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Penampang, khususnya empat sekolah menengah dalam kawasan Parlimen Penampang yang berjaya mencatat prestasi cemerlang dan menduduki tempat teratas di Sabah.


“Syabas dan tahniah kepada semua sekolah, khususnya SMK Bahang, SM St Michael, SMK Datuk Peter Mojuntin dan SMK Limbanak atas pencapaian membanggakan ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyempurnakan perasmian Mesyuarat Agung Tahunan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bahang, di sini, hari ini.


Sebagai sokongan kepada usaha berkenaan, Ewon mengumumkan peruntukan RM30,000 kepada setiap PIBG di empat sekolah menengah terbabit bagi membantu pelaksanaan aktiviti pendidikan dan pembangunan pelajar.


Selain itu, beliau turut menyalurkan RM30,000 daripada peruntukan khas Ahli Parlimen bagi sambutan Hari Guru Penampang tahun ini sebagai menghargai jasa dan pengorbanan warga pendidik.

“Saya akan terus komited menyokong program-program kecemerlangan sekolah, khususnya di kawasan yang saya wakili,” katanya.


Ewon berkata, SMK Bahang memainkan peranan penting dalam menyumbang kepada kecemerlangan keseluruhan prestasi Penampang, termasuk pencapaian cemerlang sekolah itu sendiri.

Dalam majlis sama, beliau turut merakamkan penghargaan kepada Pengetua SMK Bahang, Haji Mohd Al-Beari Haji Binsin serta Yang Dipertua PIBG, Patricia Mosinoh, selain seluruh warga sekolah atas usaha berterusan meningkatkan kecemerlangan akademik.

 
 
 

Comments


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page