Pencalonan bakal PM Malaysia ke-10 dilanjutkan sehingga esok - Agong
top of page
  • Wartawan Nabalu News

Pencalonan bakal PM Malaysia ke-10 dilanjutkan sehingga esok - Agong


21 November 2022

Oleh Wartawan Nabalu News


KUALA LUMPUR: Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menzahirkan titah perkenan supaya proses bagi ketua parti-parti politik dan gabungan parti-parti politik mengemukakan gabungan parti-parti politik pasca Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) bagi pembentukan kerajaan baharu dan pencalonan bakal Perdana Menteri Malaysia ke-10 dilanjutkan sehingga jam 2.00 petang esok (Selasa, 22 November).


Dalam kenyataan yang dikeluarkan Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara, Dato' Seri Ahmad Fadil Shamsuddin, titah perkenan Seri Paduka Baginda itu adalah susulan daripada permohonan-permohonan daripada ketua parti-parti politik dan gabungan parti-parti politik yang telah diterima oleh pihak Istana Negara hari ini.


“Sehubungan dengan itu, Seri Paduka Baginda menyeru dan menasihati seluruh rakyat bersabar dan bertenang sehingga proses pembentukan

kerajaan baharu dan pencalonan bakal Perdana Menteri Malaysia ke-10 selesai.


“Seri Paduka Baginda turut mengingatkan bahawa pentadbiran negara masih berjalan seperti biasa di bawah pengurusan Perdana Menteri Sementara atau “Caretaker Prime Minister" berdasarkan prinsip-prinsip yang digariskan bagi Kerajaan Sementara (Caretaker Government),” katanya dalam kenyataan media, hari ini.


Seri Paduka Baginda menyeru rakyat untuk bersama mendoakan semoga proses pembentukan kerajaan baharu dan pencalonan bakal Perdana Menteri Malaysia ke-10 ini dipermudahkan dan berjalan lancar demi kepentingan negara.


Baginda seterusnya turut menyeru rakyat untuk bersama mendoakan semoga Malaysia dirahmati dan diberkati serta dilindungi daripada sebarang bentuk bencana dan musibah.


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page