PENCAPAIAN EWON JAUH LEBIH BAIK DALAM ISU TUNTUTAN MA63: PEMUDA UPKO
- nabalunews
- 6 hours ago
- 2 min read

8 Mei 2025
KOTA KINABALU: Kritikan beberapa golongan kecil yang cuba memperlekehkan usaha dan kesungguhan Ewon dalam memperjuangkan tuntutan hak-hak serta kepentingan Sabah adalah cubaan penafian yang amat terdesak.
“Kita boleh lihat dengan jelas, walaupun dalam tempoh singkat, kecemerlangan Ewon dalam mencapai beberapa kejayaan berhubung isu tuntutan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) jauh lebih baik dari pemimpin lain,”
“Antara kejayaan paling jelas adalah Pindaan Akta Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) untuk memasukkan wakil rasmi Kerajaan Sabah dan Kerajaan Sarawak selain peningkatan pemberian khas sebagai penyelesaian interim yang kini berjumlah RM600 juta, jumlah yang tertinggi setakat ini dan pastinya kita akan terus menuntut hak 40 peratus”
Demikian tegas Ketua Pemuda Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) Malaysia, Felix Joseph Saang, yang percaya parti tempatan itu akan terus menjadi suara progresif dan konstruktif demi masa depan yang lebih baik untuk Sabah dan Malaysia.
Felix menegaskan, malah sembilan daripada 13 perkara berkaitan tuntutan MA63 telah selesai sepenuhnya.
Katanya, semua ini berlaku semasa Kerajaan Perpaduan pimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Presiden UPKO sendiri berada dalam kabinet Persekutuan.
“Selaku Presiden UPKO, Datuk Ewon Benedick jelas membuktikan keupayaannya membawa suara dan kepentingan rakyat Sabah ke peringkat tertinggi pentadbiran negara.
“Pencapaian itu jelas jauh lebih baik berbanding pemimpin-pemimpin Sabah terdahulu yang pernah berada dalam Kabinet Kerajaan Persekutuan.
“Meskipun terdapat pemimpin Sabah yang pernah menjadi menteri persekutuan selama belasan tahun, pencapaian mereka tidak setara dengan hasil kerja dan tindakan konkrit yang kini dibawa oleh UPKO dalam memperjuangkan hak-hak negeri ini.
“Kita tidak hanya bersuara, tetapi kita bertindak. Kita kemukakan cadangan, kita perjuangkan pelaksanaan MA63, dan kita pastikan tuntutan rakyat Sabah diberi perhatian sewajarnya dalam dasar negara,” kata ketika ditemui, semalam.
Felix berkata, sukar dinafikan, UPKO kini menjadi antara parti yang paling aktif dalam menyuarakan dan menuntut pelaksanaan MA63, khususnya berkaitan hak pentadbiran, hasil negeri dan pembangunan infrastruktur di Sabah.
“Beberapa tuntutan yang diperjuangkan oleh UPKO telah pun mendapat maklum balas positif daripada kerajaan Persekutuan,” katanya.
Sementara itu, Felix turut menyelar budaya politik sesetengah pemimpin yang hanya bersuara lantang tanpa membawa sebarang penyelesaian atau idea bernas untuk rakyat.
“Kita tidak mahu jadi pemimpin yang hanya pandai bercakap di luar, tetapi gagal menyumbang dalam Kabinet dan Parlimen.
“UPKO telah membuktikan bahawa kita bukan hanya bercakap, kita bertindak dan kita capai,” katanya.
Felix berkata, UPKO mendapat sokongan akar umbi kerana membawa pendekatan politik baharu yang berasaskan prinsip, tindakan dan penyelesaian.
“Ia sekali gus meletakkan parti UPKO sebagai salah satu tonggak penting dalam Kerajaan Perpaduan hari ini.
“Kami sedar masih terdapat isu-isu penting yang belum selesai, tetapi UPKO akan terus bekerja untuk rakyat. Kami yakin, kepercayaan yang diberi perlu dibalas dengan hasil kerja yang dapat dirasai oleh rakyat di akar umbi,” katanya.
Comments