top of page

Pencawang elektrik baharu di Kg Takis dijangka beroperasi penuh April ini

  • nabalunews
  • 2 minutes ago
  • 2 min read

7 Mac 2026


PAPAR: Projek pembinaan pencawang elektrik baharu di Kampung Takis di sini yang siap pada 26 Februari lepas dijangka beroperasi sepenuhnya selewat-lewatnya pada awal April ini.


Ahli Parlimen Papar, Datuk Armizan Mohd Ali berkata, projek berkenaan kini berada dalam fasa pemindahan beban daripada pencawang asal ke pencawang baharu sebelum operasi penuh dapat dilaksanakan.


“Pembinaan pencawang ini dilaksanakan susulan aduan penduduk mengenai isu kesusutan voltan di bawah paras nominal 216 volt, yang menjejaskan kediaman serta premis perniagaan di sekitar Kampung Takis sejak sekian lama.


“Keadaan ini telah memberi kesan kepada kelancaran penggunaan elektrik harian, malah dalam beberapa keadaan menyebabkan kerosakan peralatan, selain risiko berlakunya litar pintas sekali gus mengganggu aktiviti perniagaan dan urusan harian penduduk,” katanya.


Beliau berkata demikian selepas meninjau projek pembinaan pencawang elektrik baharu berkenaan sebelum menghadiri Majlis Berbuka Puasa di Masjid As Sobirin Kampung Takis, di sini pada Sabtu.


Menurut Armizan, dengan beroperasinya pencawang baharu itu kelak, isu berkaitan kesusutan voltan dijangka dapat diatasi sekali gus memastikan bekalan elektrik yang lebih stabil kepada penduduk.


“Bekalan elektrik yang lebih stabil ini juga akan memudahkan urusan harian penduduk serta menampung peningkatan kapasiti penggunaan elektrik di kawasan sekitar.


“Saya berharap penduduk dapat menyambut Aidilfitri tahun ini dengan bekalan elektrik yang lebih stabil,” ujarnya.


Tambah beliau, berikutan aduan diterima berkaitan isu sama di beberapa kampung dalam Parlimen Papar, Sabah Electricity turut mengambil langkah proaktif melaksanakan beberapa projek pembinaan pencawang elektrik baharu di kawasan yang dikenal pasti mengalami gangguan bekalan ketara.


Katanya, beliau sendiri turun padang bersama kakitangan Sabah Electricity bagi meninjau pelaksanaan projek-projek berkenaan serta menggesa supaya pembinaannya dapat disegerakan dan disiapkan mengikut jadual ditetapkan.


“Alhamdulillah, pada tahun lalu, beberapa projek pencawang elektrik baharu di kawasan Papar iaitu di Kampung Beringgis, Kampung Sekayan, Kampung Kawakahan dan Kampung Sagang telah siap dan sudah mula beroperasi,” katanya.


Dalam pada itu, Armizan menggesa penduduk yang berdepan isu sama supaya menyalurkan aduan rasmi kepada Sabah Electricity atau Pejabat Parlimen Papar untuk semakan dan tindakan lanjut.


Pada masa sama, beliau turut merakamkan penghargaan kepada Sabah Electricity atas komitmen dan kerjasama dalam memastikan keperluan asas rakyat khususnya bekalan elektrik terus diberi perhatian.


Katanya, usaha berterusan itu merupakan antara komitmen kerajaan dalam memastikan kemudahan infrastruktur asas terus diperkukuh demi kesejahteraan rakyat.

 
 
 

Comments


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page