PENCEMARAN ALAM SEKITAR, SYARIKAT PROSES MAKANAN LAUT DIDENDA RM60,000
21 Jan 2021
Oleh Eviana Mazinal
KOTA KINABALU: Sebuah syarikat memproses makanan laut didenda sejumlah RM60,000 atau lapan bulan penjara jika gagal membayar denda atas empat kesalahan berkaitan pencemaran alam sekitar.
Hakim Mahkamah Sesyen Elsie Primus menjatuhkan hukuman tersebut selepas pengurus yang mewakili Syarikat Bismaraya Sdn Bhd selaku Orang Kena Saman (OKS) mengaku bersalah atas keempat-empat pertuduhan yang dibacakan terhadapnya.
Bagi setiap kesalahan itu, Bismaraya Sdn Bhd dikenakan denda RM15,000 gagal bayar dua bulan penjara.
Untuk kesalahan pertama, Bismaraya didapati membuang efluen perindustrian yang mempunyai kepekatan sebanyak 3020 mg/L melebihi had piawaian yang dibenarkan iaitu 50 mg/L.
Bagi kesalahan kedua Bismaraya telah membuang efluen perindustrian ke dalam perairan pedalaman yang mengandungi parameter pepejal terampai dengan kepekatan 1290mg/L melebihi had yang dibenarkan iaitu 100 mg/L.
Bagi kesalahan ketiga pula Bismaraya didapati membuang efluen perindustrian ke dalam perairan pedalaman yang mengandungi parameter minyak dan gris yang mempunyai kepekatan sebanyak 72 mg/L, melebihi had yang di tetapkan iaitu 10 mg/L.
Ketiga-tiga kesalahan itu dibaca dibawah Peraturan 11(1)(b) Peraturan-peraturan Kualiti Alam Sekeliling (Efluen Perindustrian) 2009 dan boleh dihukum di bawah Peraturan 32, Peraturan sama yang memperuntukkan denda tidak melebihi RM100,000 atau penjara tidak lebih lima tahun atau kedua-duanya sekali, dan denda selanjutnya tidak melebihi RM1,000 sehari bagi tiap-tiap hari kesalahan itu berterusan selepas suatu notis di keluarkan.
Manakala untuk kesalahan Keempat pula, Bismaraya didapati telah membuang efluen perindustrian ke dalam perairan pedalaman yang mengandungi parameter keperluan oksigen kimia yang mempunyai kepekatan sebanyak 3840 mg/L melebihi had yang di tetapkan iaitu 200 mg/L.
Bagi kesalahan itu, syarikat berkenaan didakwa mengikut Peraturan 12(b), Peraturan-peraturan Kualiti Alam Sekeliling (Efluen Perindustrian) 2009 dan boleh dihukum di bawah Peraturan 32, Peraturan yang sama.
Kesemua kesalahan itu dilakukan di Premis Bismaraya Sdn Bhd, Kolombong, Inanam pada 13 Februari tahun lalu antara jam 10.47 pagi dan 12.07 tengahari.
Berdasarkan fakta kes, pada hari kejadian, pasukan penguatkuasaan Jabatan Alam Sekitar Negeri Sabah telah menjalankan lawatan penguatkuasaan Akta Alam Sekeliling 1974 di syarikat berkenaan.
Semasa pemeriksaan, aktiviti pemprosesan hasil laut sedang beroperasi dan pemeriksaan lanjut mendapati efluen perindustrian iaitu air basuhan/air buangan yang terhasil daripada proses pengeluaran, telah disalurkan terus ke longkang premis dan seterusnya di lepaskan ke alur air berhampiran tanpa rawatan.
Semasa rayuan, pengurus Bismaraya yang tidak diwakili peguam memohon agar diberikan hukuman ringan dan menurutnya pihak syarikat telah melantik pihak perunding sejak Ogos 2019 bagi menangani masalah tersebut.
Laporan telah dikeluarkan dan terdapat cadangan untuk membuat struktur penapisan yang dianggarkan menelan belanja RM260,000.
Hakim mempersoalkan tindakan lanjut pihak syarikat berkenaan penapisan tersebut dan pengurus Bismaraya memaklumkan bahawa pihak syarikat belum melaksanakan penapisan itu kerana mereka kini kurang melakukan pengeluaran dan perniagaan mereka kurang memberansangkan sejak Perintah Kawalan Pergerakan dijalankan.
Bagaimanapun, pegawai pendakwaan, Norhazwan Norizan dari Jabatan Alam Sekitar Negeri Sabah menekankan bahawa pencemaran alam sekitar merupakan suatu kesalahan yang serius dan melibatkan kepentingan awam.
"Isu pencemaran air sering menjadi perhatian masyarakat, sekiranya pencemaran air berlaku, perkara ini akan menjejaskan kualiti dan sumber air serta hidupan akuatik".
Justeru itu, beliau memohon hukuman setimpal diberikan kepada syarikat berkenaan sebagai pengajaran kepada syarikat itu serta syarikat lain agar tidak melakukan kesalahan sama dimasa hadapan.
Comments