Gerak Saraf Tiger Platun & JPVS Tumpaskan Sindiket Frozen di Kunak
- nabalunews
- 13 minutes ago
- 1 min read

Oleh : Romie Stanley DGuns
7 Mac 2026
KUNAK: Seramai empat individu ditahan dalam dua serbuan bersepadu yang dijalankan di daerah ini pada 4 Mac lalu susulan kegiatan menjalankan perniagaan produk sejuk beku tanpa lesen sah. Hasil rampasan membabitkan pelbagai barangan dianggarkan bernilai hampir RM400,000.
Kesemua tangkapan dan rampasan produk telah diserahkan kepada Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPVS) Daerah Kunak untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 15(1) Enakmen Haiwan 2015. Nilai keseluruhan rampasan dianggarkan berjumlah RM391,104.56.
Operasi bersepadu yang diberi nama Op Chiller Sabah 2.0 itu dilaksanakan hasil kerjasama strategik intra dan inter agensi. Pihak berkuasa yang terlibat terdiri daripada Cawangan Risik/Task Force dan Tiger Platun Batalion 22 PGA Kunak, bersama-sama JPVS Kunak serta Majlis Daerah Kunak.
Dalam serbuan tersebut, selain gagal mengemukakan lesen perniagaan yang sah, pihak berkuasa turut mendapati peniaga tidak dapat mengemukakan invois yang sah bagi produk yang dijual, sekali gus menyukarkan proses pengesanan sumber bekalan.
Pihak Pasukan Petugas (Task Force) Batalion 22 PGA Kunak menegaskan komitmen berterusan untuk mempergiatkan operasi di kawasan tanggungjawab mereka. Langkah ini bagi mengekang sebarang aktiviti yang menyalahi undang-undang, khususnya dalam industri makanan.
Kejayaan operasi ini membuktikan bahawa kerjasama erat antara agensi penguat kuasa mampu memastikan kelangsungan keselamatan makanan serta memelihara kepentingan pengguna di daerah Kunak.











