Pendaki Cedera Ketika Turun Gunung Kinabalu, Diselamatkan Pasukan MOSAR
- nabalunews
- Apr 12
- 1 min read

12 April 2025
RANAU: Seorang pendaki wanita terpaksa dibawa turun selepas mengalami kecederaan ketika menuruni gunung dalam kejadian di kilometer 4, Gunung Kinabalu, di sini, semalam.
Mangsa berusia 36 tahun dikatakan terseliuh di buku lali kiri dipercayai ekoran laluan gunung yang licin dan berbatu.
Jurucakap Pasukan Bomba Bantuan Mountain Search and Rescue (MOSAR) yang berpangkalan di Taman Kinabalu berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan daripada malim gunung yang mengiringi mangsa.

Katanya, seramai sembilan anggota penyelamat segera digerakkan ke lokasi kejadian untuk membantu.
“Sebaik tiba di lokasi, pasukan penyelamat memberikan bantuan awal perubatan kecemasan (EMRS) kepada mangsa.
“Pasukan operasi kemudiannya mengangkat mangsa turun ke Timpohon Gate menggunakan kaedah “Piggy Back Carry," katanya ketika dihubungi, semalam.

Menurutnya, kaedah beekenaan sering digunakan dalam situasi mendaki yang mencabar di mana laluan tidak dapat diakses kenderaan atau pengusung biasa.
Katanya, sebaik sampai di Timpohon Gate, mangsa seterusnya diserahkan kepada pasukan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) untuk tindakan lanjut.
“Pasukan operasi terus melakukan pemeriksaan akhir bagi memastikan tiada kemerbahayaan lain sebelum operasi tamat sepenuhnya pada jam 4.20 petang,” katanya.
Sementara itu, katanya, insiden ini sekali lagi menonjolkan kepentingan keberadaan pasukan penyelamat terlatih seperti MOSAR yang sentiasa bersedia bertindak dalam situasi kecemasan di kawasan berisiko tinggi di Gunung Kinabalu.
Katanya, pendaki juga diingatkan agar sentiasa menjaga keselamatan diri dan memastikan tahap kesihatan serta persediaan fizikal mencukupi sebelum mendaki.
Comentarios