Pendaki gunung cedera terpaksa diusung turun
- nabalunews
- Apr 3
- 1 min read

2 April 2025
RANAU: Seorang pendaki warga Singapura yang cedera terpaksa diusung turun oleh Pasukan Bomba Bantuan (PBB) Mencari dan Menyelamat Gunung (MOSAR), hari ini.
Lelaki berusia 28 tahun itu dikatakan terseliuh buku lali kiri selepas dipercayai tergelincir ketika menuruni Gunung Kinabalu.
Mangsa dibawa turun dari Kilometer 8.3 hingga ke Timpohon Gate sebelum di hantar ke hospital untuk mendapatkan rawatan.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Ranau, Ridwan Mohd Taib berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 8.30 pagi.
Katanya, susulan laporan itu, sepasukan anggota PBB MOSAR bersama anggota Taman-Taman Sabah serta Angkatan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dikerah ke lokasi kejadian untuk membantu.
“Mangsa dilaporkan terjatuh mengakibatkan terseliuh buku lali kiri dan tidak dapat meneruskan pendakian.
“Pasukan MOSAR bersama petugas Taman-Taman Sabah terus memberi rawatan awal kepada mangsa,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Menurutnya, mangsa seterusnya dibawa turun ke Timpohon Gate dengan menggunakan kaedah Robinson Stretcher.
“Sebaik tiba di Timpohon Gate, mangsa diserahkan kepada pihak ambulans KKM untuk dihantar ke hospital bagi mendapatkan rawatan lanjut.
“Pasukan bomba terus melakukan pemeriksaan akhir bagi memastikan tiada kemerbahayaan lain sebelum operasi tamat sepenuhnya pada jam 5 petang,” katanya.
Comments