top of page

Pendengaran Kes Penghinaan Mahkamah Oleh Shafie Apdal Ditetapkan 3 Februari Depan

  • nabalunews
  • 3 minutes ago
  • 2 min read
ree

18 Disember 2025


KOTA KINABALU: Mahkamah Sesyen Kota Kinabalu, hari ini, menetapkan 3 Februari depan untuk pendengaran kes penghinaan mahkamah melibatkan Presiden Parti Warisan Sabah (Warisan) Datuk Seri Mohd Shafie Apdal.


Ia berhubung dakwaan kenyataan yang dibuat Ahli Parlimen Semporna terbabit sebelum ini berkaitan prosiding inkues kematian pelajar tingkatan satu, Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Tun Datu Mustapa, Zara Qairina Mahathir.


Hakim Mahkamah Sesyen, Amir Shah Amir Hassan turut mengarahkan pihak pendakwaan memfailkan afidavit selewat-lewatnya pada 26 Disember ini.


Afidavit jawapan pula hendaklah difailkan pada atau sebelum 9 Januari 2026, manakala hujahan bertulis oleh kedua-dua pihak perlu dikemukakan pada atau sebelum 19 Januari depan.


Mohd Shafie yang tidak hadir ke Mahkamah, hari ini, diwakili Peguam bela, Chen Ket Chuin KC, bersama Jakariya Ab Jalil dan Bartholomew Jingulam


Peguambelanya, Chen Ket Chuin KC, berkata, pihaknya telah memfailkan permohonan pada 15 Disember lalu bagi membatalkan prosiding komital tersebut.


Katanya, pihak pembelaan juga akan memfailkan afidavit sokongan bagi permohonan itu serta bagi menentang prosiding komital yang dikemukakan.


“Kami telah memfailkan permohonan kepada mahkamah untuk membatalkan prosiding komital. Permohonan tersebut telah difailkan pada 15 Disember lalu.


“Selain itu, kami juga telah memfailkan afidavit sokongan bagi permohonan tersebut serta afidavit bantahan untuk mencabar prosiding komital,” katanya kepada media ketika ditemui, hari ini.


Ket Chuin berkata, Mahkamah kemudiannya mengarahkan pihak pendakwaraya untuk memfailkan afidavit jawapan selewat-lewatnya pada 26 Disember ini.


“Kami pula akan memfailkan afidavit balasan sebelum atau pada 9 Januari. Manakala hujahan bertulis hendaklah difailkan selewat-lewatnya pada 19 Januari 2026. Prosiding pendengaran pula ditetapkan pada 3 Februari 2026 ,” katanya.


Pendakwaan dikendalikan, Timbalan Pendakwa Raya, Mohamad Mustaffa P. Kunyalan.


Sementara itu, dalam mahkamah sama, hari ini, pempengaruh media sosial Che Muna Din yang didakwa mempersoalkan kenyataan saksi dalam inkues berkenaan, 4 September lalu mengaku bersalah.


Tertuduh yang dikenali sebagai Mona Din dikenakan denda sebanyak RM300 dan sekiranya gagal membayar, boleh dipenjara selama 14 hari.

 
 
 
photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page