Cikgu Juman bersara wajib selepas 39 tahun menabur bakti
- nabalunews
- Jul 9, 2025
- 2 min read

9 Julai 2025
KOTA BELUD: Sekolah Kebangsaan (SK) Podos semalam menyaksikan detik penuh emosi apabila seorang tokoh pendidik berjiwa besar, Cikgu Juman Mitunda, menamatkan perkhidmatan sebagai guru pada usia 60 tahun, setelah hampir empat dekad mencurah bakti dalam dunia pendidikan.
Cikgu Juman, anak jati Kampung Tuguson, Kota Belud, dilahirkan pada 9 Julai 1965. Beliau merupakan anak bongsu daripada empat beradik dan dikenali ramai sebagai seorang guru yang peramah, mesra, penyayang, serta penghibur kepada murid-murid dan rakan sejawat.
Perjalanan pendidikannya bermula di SK Tuguson, Kota Belud diikuti SMK Arshad, Kota Belud sebelum melanjutkan pengajian ke IPG Gaya, Kota Kinabalu dalam kursus KDC (1991–1995). Semangatnya untuk terus menimba ilmu membawa beliau menyambung pengajian ke peringkat lebih tinggi, memperoleh Ijazah Sarjana Muda Psikologi dari Universiti Malaysia Sabah (UMS) pada tahun 2000.
Kerjaya pendidikannya bermula seawal tahun 1986 sebagai Guru Sandaran Tidak Terlatih di SK Kiau, Kota Belud. Kemudian beliau berkhidmat di SK Mangaris, Kota Marudu (1995–1999), dan akhirnya menabur bakti selama 26 tahun di SK Podos, Kota Belud sejak tahun 1999 sehingga persaraannya pada hari ini.
Sepanjang tempoh perkhidmatannya, beliau telah dianugerahkan Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) sebanyak tiga kali, iaitu pada tahun 2000, 2007 dan 2020, sebagai pengiktirafan terhadap dedikasi dan komitmennya yang luar biasa.
Di SK Podos, Cikgu Juman telah memegang pelbagai jawatan penting termasuk Guru Data Sekolah, Guru ICT, Guru Kelas, serta pengajar Pendidikan Seni, Bahasa Kadazan Dusun (BKD) dan Reka Bentuk dan Teknologi (RBT). Beliau juga dikenang sebagai pendidik YB Datuk Ewon Benedict ADUN N.7 Kadamaian yang kini menjadi pemimpin masyarakat.
Majlis persaraan beliau yang berlangsung di dewan SK Podos pagi tadi dimeriahkan dengan kehadiran Ketua Kampung Kg Podos, YDP Sk Podos, penyelia pengawal keselamatan, warga sekolah, pengusaha kantin dan bekas anak murid. Dalam ucapannya, beliau menzahirkan rasa syukur atas perjalanan hidupnya sebagai seorang guru dan mengucapkan terima kasih kepada semua yang telah menjadi sebahagian daripada perjalanannya.
“Saya percaya tugas sebagai seorang guru bukan sekadar menyampaikan ilmu, tetapi menyentuh hati dan membina karakter generasi masa depan,” ujar beliau dalam nada sebak.
Sumbangan dan jasa Cikgu Juman kepada dunia pendidikan, khususnya di daerah Kota Belud, akan terus dikenang dan menjadi inspirasi kepada generasi pendidik yang akan datang.
Selamat Bersara Cikgu Juman Mitunda – jasa dan pengorbananmu tidak ternilai.















Comments