top of page

Pendidikan kekal keutamaan negara – PM Anwar

  • nabalunews
  • 3 hours ago
  • 1 min read

12 Januari 2026


KUALA LUMPUR: Aspek pendidikan akan terus menjadi keutamaan negara dalam memastikan pembinaan generasi masa depan yang berilmu dan berakhlak.


Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kejayaan sistem pendidikan tidak hanya bergantung kepada dasar serta peruntukan kerajaan, sebaliknya menuntut kerjasama erat antara kerajaan, ibu bapa serta warga pendidik.


“Hubungan mantap antara semua pihak ini penting bagi memastikan anak-anak menerima dukungan yang menyeluruh, sama ada di sekolah mahupun di rumah.


“Dengan memastikan pendidikan yang berkualiti, berteraskan nilai dan kemanusiaan, kita lantas meyakini mampu untuk melahirkan generasi yang berilmu, berakhlak serta mampu menongkah arus cabaran dengan semangat dan keyakinan,” katanya menerusi hantaran di Facebook pada Isnin.


Terdahulu, Anwar bersama isteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail meninjau hari pertama sesi persekolahan dan memantau pengedaran Bantuan Awal Persekolahan (BAP) di Sekolah Kebangsaan (SK) Sungai Besi, Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Kwong Hon dan Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) Sungai Besi.


Menurut beliau, BAP merupakan inisiatif penting untuk meringkankan beban ibu bapa membuat persiapan awal persekolahan anak-anak.


Dalam lawatan tersebut, beliau turut berpeluang bertemu dan menyantuni murid-murid yang baru melangkah ke alam persekolahan.


"Melihat keterujaan dan wajah mereka mengingatkan kita bahawa setiap anak tidak hanya menggendong harapan menggunung ibu bapa tetapi turut memikul keyakinan para guru dan cita besar masa depan negara.


"Sekolah, selain tempat menimba ilmu, adalah ruang awal dalam pembentukan sahsiah, disiplin dan jati diri," katanya.

 
 
 

Comments


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page