Penduduk di kawasan berisiko bencana digesa peka, siap siaga
- nabalunews
- Dec 17, 2024
- 1 min read

17 Disember 2024
SANDAKAN: Penduduk Kampung Sim-Sim, Sandakan khususnya di penempatan yang terletak di kawasan rendah dinasihatkan agar sentiasa peka dan berjaga-jaga dengan situasi semasa air laut pasang di kawasan mereka.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjong Papat, Datuk Frankie Poon Ming Fung turut mengingatkan penduduk agar bersedia menyimpan barangan berharga dan dokumen masing-masing di tempat yang selamat.
"Kita berharap penduduk sentiasa peka dengan arahan dan maklumat daripada pihak berkuasa termasuk berpindah sementara untuk mengelak kejadian tidak diingini berlaku," katanya.
Frankie berkata demikian ketika memantau keadaan air pasang yang berlaku di kawasan kampung itu malam semalam bersama pasukannya.
Pemantauan ini turut disertai Ketua Kampung, agensi berkaitan serta penduduk kampung.
Menurut Frankie, pemantauan ini adalah sebahagian daripada usaha untuk memastikan keselamatan dan kesejahteraan penduduk sentiasa terjaga.
Katanya, jika berlaku sebarang kecemasan, penduduk boleh menghubungi Bilik Gerakan Pengurusan Bencana Bahagian / Daerah Sandakan di talian 089-224693 atau Balai Polis Sandakan, 089-221251 dan talian kecemasan MERS999.
"Keselamatan penduduk adalah keutamaan kami dan kita juga akan terus memantau perkembangan situasi ini dan mengambil langkah sewajarnya bagi melindungi penduduk Kampung Sim-Sim," katanya.
Frankie berkata menurut ramalan air pasang, paras tertinggi dijangka mencecah 2.47 meter pada 11.27 malam ini (Selasa).
Sehubungan itu Frankie meminta penduduk agar sentiasa memantau keadaan semasa dan meminta bantuan segera jika berhadapan situasi cemas.
Sementara itu, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Sandakan menerusi satu kenyataan memaklumkan pasukannya juga membuat pemantauan di kampung-kampung atas air sekitar Sandakan termasuk Kampung Tinusa 2, Kampung Sim-Sim, kawasan Karamunting dan Batu Sapi.
Comments