PENDUDUK DUA KAMPUNG DI SABAH NIKMATI KEMUDAHAN INTERNET PRABAYAR CONNECTTME NOWPENDUDUK DUA KAMPUNG DI SABAH NIKMATI KEMUDAHAN INTERNET PRABAYAR CONNECTTME NOW
top of page
  • nabalunews

PENDUDUK DUA KAMPUNG DI SABAH NIKMATI KEMUDAHAN INTERNET PRABAYAR CONNECTTME NOW



6 Mac 2021


KOTA KINABALU: Lebih 300 penduduk Kampung Gana di Papar dan lebih 200 penduduk Kampung Kumawan di Tambunan kini boleh menikmati kemudahan Internet jalur lebar prabayar kelajuan tinggi berasaskan komuniti melalui satelit iaitu CONNECTme NOW, yang dilancarkan hari ini.


MEASAT Global Berhad (MEASAT) menerusi kenyataan hari ini memaklumkan inisiatif kerjasama syarikat itu bersama Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi Sabah (KSTI) serta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) adalah selaras dengan usaha berterusan memperkasa misi Internet untuk semua.



"Kerajaan Negeri Sabah turut menaja 300GB data percuma di setiap kawasan untuk penggunaan awal penduduk kampung.


"Langkah ini adalah selari dengan hasrat KSTI untuk menangani isu sambungan Internet yang terhad dialami oleh penduduk luar bandar sekali gus menghubungkan lebih banyak komuniti, perusahaan dan institusi dengan Internet jalur lebar yang berkualiti tinggi dengan harga berpatutan," menurut kenyataan itu.


CONNECTme NOW menggunakan teknologi satelit Very Small Aperture Terminal (VSAT) dan High Throughput Satellite (HTS) manakala Terminal VSAT itu, yang dipasang bersama peralatan WiFi hotspot, akan membolehkan penduduk kampung yang berada dalam jarak 100 meter menikmati kemudahan tersebut.


Perkhidmatan Internet ini boleh diakses menggunakan Kod Akses Prabayar (PAC) tanpa memerlukan kontrak atau caj bulanan tetap.



Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Sabah Datuk Yakub Khan dalam kenyataan sama memaklumkan usaha merapatkan jurang digital adalah antara langkah utama dalam meningkatkan kualiti hidup dan peluang ekonomi rakyat Sabah terutama di luar bandar.


"Bagi memastikan digitalisasi dan inovasi dapat diterapkan pada peringkat awam, penambahbaikan infrastuktur perlu dilaksanakan di seluruh negeri dan tidak terhad kepada kawasan bandar sahaja," katanya.


Sehingga kini, CONNECTme NOW menyediakan lebih 100,000 sambungan jalur lebar kepada komuniti yang tinggal di luar liputan 4G atau sambungan Internet fiber.


Kenyataan itu menyebut MEASAT telah melabur sebanyak RM1.2 bilion untuk membina satelit generasi seterusnya iaitu MEASAT-3d yang akan meningkatkan sokongan perkhidmatan jalur lebar berkelajuan tinggi dengan kos rendah beserta kemampuan kelajuan sehingga 100 Mbps ke luar bandar. - Bernama


bottom of page