top of page

Penunggang motosikal cedera parah dilanggar remaja memandu tanpa lesen

  • nabalunews
  • 2 hours ago
  • 1 min read

Tangkap layar rakaman detik-detik penunggang motosikal dilanggar pemandu remaja tanpa lesen yang tular di media sosial.
Tangkap layar rakaman detik-detik penunggang motosikal dilanggar pemandu remaja tanpa lesen yang tular di media sosial.

18 Januari 2026


TAWAU: Seorang penunggang motosikal, 57, cedera parah selepas dilanggar sebuah kereta dipandu remaja perempuan, 20, yang memandu tanpa lesen dalam kemalangan di persimpangan lampu isyarat Telekom, di sini, pada Jumaat lalu - kejadian tular di media sosial.


Dalam insiden sekitar jam 7.30 malam itu, mangsa, seorang lelaki menunggang motosikal jenis Honda RS sedang dalam perjalanan dari Flat Hijau ke Taman Ambar Park sebelum terlibat nahas.


Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Jasmin Hussin berkata, siasatan awal mendapati lampu isyarat ketika kejadian berwarna hijau dan mangsa meneruskan perjalanan melalui Jalan Mawar.


Bagaimanapun, sebuah kereta jenis Proton Iriz yang datang dari arah bertentangan yang dipercayai dipandu dalam keadaan laju melanggar bahagian sisi hadapan kanan motosikal berkenaan.


"Akibatnya, mangsa cedera parah iaitu patah betis kaki kanan dan dikejarkan ke hospital Tawau untuk mendapatkan rawatan lanjut, manakala, pemandu kereta tidak mengalami sebarang kecederaan,"katanya dalam kenyataan hari ini.


Jasmin berkata, siasatan lanjut mendapati pemandu remaja tersebut yang sedang dalam perjalanan pulang ke rumahnya di Hill Top dari arah Bataras, tidak memiliki lesen memandu yang sah semasa kejadian.


Tambahnya, kes itu disiasat di bawah Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987, iaitu memandu dengan tidak cermat dan tidak bertimbang rasa.


Mengulas lanjut, Jasmin menasihatkan semua pengguna jalan raya agar sentiasa berhati-hati dan mematuhi peraturan lalu lintas, khususnya ketika melalui persimpangan lampu isyarat.


Tegasnya, pengguna jalan raya perlu memperlahankan kenderaan, mematuhi isyarat lampu trafik serta memastikan keadaan selamat sebelum meneruskan perjalanan bagi mengelakkan kemalangan.

 
 
 

Comments


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page