Tengku Zafrul dilantik Penasihat Kanan Politik PM
- nabalunews
- Mar 4
- 1 min read

4 Mac 2026
KUALA LUMPUR: Bekas Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz dilantik sebagai Penasihat Kanan Politik kepada Perdana Menteri berkuat kuasa hari ini.
Pejabat Perdana Menteri (PMO) dalam kenyataan pada Rabu memaklumkan, pelantikan tersebut telah dipersetujui oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim bagi tempoh selama dua tahun.
“Pelantikan ini bertujuan bagi mengisi kekosongan jawatan Setiausaha Politik (Kanan) kepada Perdana Menteri.
“Perdana Menteri menzahirkan harapan agar Tengku Zafrul dapat melaksanakan amanah yang diberikan ini dengan baik dan penuh tawaduk demi kemakmuran negara serta kesejahteraan rakyat,” menurut kenyataan itu.
Tengku Zafrul sebelum ini berkhidmat sebagai Ahli Dewan Negara selama enam tahun iaitu tempoh maksimum yang dibenarkan oleh Perlembagaan Persekutuan.
Beliau mula mengangkat sumpah sebagai Senator buat kali pertama pada 10 Mac 2020 untuk jawatan Menteri Kewangan, sebelum menyambung penggal kedua pada 3 Disember 2022 dan secara rasmi menamatkan perkhidmatan di Dewan Negara pada 2 Disember tahun lalu.















Comments