Penduduk Kadamaian Terima Sumbangan Kecemasan daripada Ewon
- nabalunews
- Jul 15, 2025
- 1 min read

15 Julai 2025
KOTA BELUD: Dua penduduk dari Kadamaian, merakamkan penghargaan tidak terhingga atas keprihatinan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kadamaian, Datuk Ewon Benedick, yang telah menyalurkan sumbangan kecemasan berbentuk bahan binaan untuk membaik pulih kediaman mereka yang terjejas akibat bencana alam.
Sumbangan tersebut telah disampaikan oleh wakil rasmi ADUN Kadamaian, Clarence Somuil, selaku Pemanju Masyarakat Unit Pemimpin dan Pembangunan Masyarakat (UPPM) Kadamaian.
Menurut Clarence, penerima pertama,Pouncin Kandar, berasal daripada Kampung Tuguson menerima bantuan bahan binaan bagi membaiki tebing tapak rumah beliau yang runtuh susulan hujan berterusan beberapa minggu kebelakangan ini. Beliau menegaskan bahawa tindakan segera diambil selepas pejabat ADUN dimaklumkan mengenai keadaan tersebut, yang boleh menjejaskan keselamatan penghuni rumah.

“Ewon amat prihatin terhadap sebarang kesulitan yang dihadapi oleh rakyat, lebih-lebih lagi apabila melibatkan keselamatan kediaman. Oleh itu, bantuan segera ini diharap dapat membantu kerja pembaikan berjalan lancar,” katanya.
Sementara itu, seorang lagi penduduk, Pelinting @ Jemon Basinau yang beradal daripada Kampung Gonok Lasau, turut menerima sumbangan bahan binaan selepas rumah beliau mengalami kerosakan akibat ribut kencang yang melanda kawasan tersebut baru-baru ini.
Pelinting dalam ucapannya merakamkan ucapan terima kasih atas keprihatinan dan tindakan pantas pihak ADUN Kadamaian. Beliau menyifatkan bantuan tersebut sebagai amat bermakna dalam membantu penduduk luar bandar yang berdepan dengan bencana secara tiba-tiba.
Inisiatif ini menunjukkan kesungguhan dan komitmen berterusan Ewon dalam memastikan kebajikan masyarakat sentiasa menjadi keutamaan, terutama di kawasan Kadamaian. Sumbangan kecemasan ini juga memperlihatkan nilai tanggungjawab sosial seorang wakil rakyat dalam membantu meringankan beban yang ditanggung rakyat di saat memerlukan.















Comments