top of page
Wartawan Nabalu News

Penduduk Kg.Baba, Kg.Ansuan, Kg.Sebrang Buis rayu jambatan dibaiki segera


Warga emas terpaksa melalui jambatan gantung itu.

22 Feb 2022

Oleh Wartawan Nabalu News


TELUPID: Penduduk Kampung Baba, Kg.Ansuan dan Kg.Sebrang Buis di sini, merayu kepada pihak berkaitan supaya segera membaki jambatan gantung di kampung itu yang rosak akibat banjir besar awal bulan lalu.


Wakil penduduk kampung berkenaan, Andrew Peter Parantis berkata, jambatan gantung ‘Jambatan Ansuan Berayung’ itu adalah laluan alternatif penduduk di tiga buah kampung berkenaan yang tidak menggunakan perkhidmatan feri.


Andrew Parantis

“Jambatan gantung itu adalah satu-satunya laluan alternatif penduduk kampung menyeberang Sungai Labuk untuk ke Pekan Telupid.


“Oleh itu kami berharap pihak kerajaan dapat mempercepatkan pembaikan jambatan itu yang rosak sejak 2 Januari lalu akibat banjir besar,” katanya kepada Nabalu News, hari ini.


Jambatan itu digunakan kira-kira 3,000 penduduk dari tiga buah kampung berkenaan.


Andrew berkata, pada bulan lalu Ahli Parlimen Beluaran Datuk Roland Kiandee telah melawat kawasan itu dan melihat sendiri kerosakan jambatan berkenaan tetapi sehingga kini belum ada tanda-tanda untuk dibaiki.


“Walaupun jambatan itu dalam keadaan 'bahaya' namun penduduk kampung tiada pilihan lain selain terpaksa melaluinya jika feri tidak beroperasi.


BAHAYA ... Penduduk kampung terpaksa melalui jambatan gantung yang rosak kerana ia adalah satu-satunya jalan alternatif mereka.

“Bagai telur di hujung tanduk, amat berisiko kerana jambatan itu belum dibaiki tetapi penduduk kampung termasuk kanak-kanak, warga emas dan ibu-ibu mengandung yang tidak menaiki feri terpaksa melaluinya kerana tiada jalan lain.


"Bayangkan ibu-ibu mengandung yang mahu bersalin terpaksa melalui jambatan itu untuk ke hospital,” katanya dan menambah, jambatan itu juga laluan alternatif guru-guru SK Ulu Ansuan.


Sementara itu Guru Besar sekolah itu George Odol berkata, baru-baru ini mereka terpaksa melalui jambatan gantung itu walaupun dalam keadaan rosak kerana perkhidmatan feri tidak beroperasi disebabkan air Sungai Labuk berada pada paras bahaya.


George menunjukkan keadaan jambatan gantung yang amat membayakan penduduk kampung yang melaluinya.

“Kami terpaksa mengangkut barang-barang guru baharu SK Ulu Ansuan melalui jambatan gantung itu kerana tiada jalan lain.


“Setiap kali air Sungai Labuk berada di paras bahaya, feri tidak beroperasi dan semua penduduk kampung termasuk guru-guru terpaksa melalui jambatan itu.


“Oleh itu kami amat berharap pihak berkenaan dapat mempercepatkan pembaikan jambatan gantung itu,” katanya.





Comments


bottom of page