top of page

TRADISI ‘MENUGAL’ MASIH DITERUSKAN PENDUDUK KAMPUNG

  • nabalunews
  • Oct 30, 2020
  • 2 min read

Gambar Hiasan

30 OKTOBER 2020

NABAWAN: Penanaman padi bukit (padi huma) secara tradisi ‘menugal’ masih diamalkan oleh penduduk Kampung Layon setiap tahun sebagai sumber beras bagi menampung keperluan keluarga masing-masing.

Menurut bekas Ketua Kampung itu Makiong Kinayoh, Kampung Layon yang terletak lebih kurang 80 kilometer dari Pekan Nabawan dan mempunyai hampir 400 penduduk terdiri dari kaum Murut seratus peratus masih mengamalkan gotong-royong apabila musim menugal.

Katanya, pada zaman dahulu musim menanam (menugal)padi bukit adalah pada bulan Ogos setiap tahun tetapi pada masa ini musim yang sesuai pada bulan Oktober setiap tahun.

“Ini kerana pada masa ini, jika menanam pada bulan Ogos banyak burung pipit yang memakan buah padi dan terpaksa dijaga sejak padi berbuah hingga matang. Kalau ditanam pada bulan Oktober tiada burung pipit yang makan buah padi dan tidak perlu dijaga,” katanya ketika ditemui selepas mereka bergotong-royong menugal baru-baru ini.

Makiong memberitahu, menugal atau menanam padi bukit secara tradisi tidak boleh dipisahkan dengan budaya gotong-royong atau ‘ahuhuyu’ dalam bahasa Murut.

Jelasnya, budaya menanam padi secara gotong-royong ini masih diteruskan oleh penduduk kampung ini sehingga kini.

“Ia adalah budaya turun temurun yang diamalkan dan diwarisi dari nenek moyang yang meringankan kerja dan mengeratkan lagi tali persaudaraan serta perpaduan dalam kalangan penduduk.

Menurut Makiong lagi, semasa menugal pemilik ladang akan menyediakan bahan-bahan makanan dan minuman termasuk minuman tradisi ‘linutou’ yang cukup mengikut bilangan penduduk yang mengikuti gotong-royong menugal.

“Budaya gotong-royong menugal padi dijalankan secara bergilir-gilir dari satu ladang ke satu ladang penduduk sehinggalah selasai,” katanya.

Yang menyoronokkan dan menarik kata Makiong, ialah setelah selesai menugal atau menanam padi pada setiap musim tiba masanya untuk santai ‘hilangkan penat’ di mana semua penduduk yang terlibat berkumpul dan menikmati minuman tradisi ‘tapai’ atau ‘linutou’ dengan pelbagai lauk pauk hasil buruan yang menyelerakan.

“Ini adalah budaya yang diwarisi daripada nenek moyang dahulu, kerana apabila mereka selasai bergotong-royong menugal padi, mereka memburu dan lepas itu berkumpul di rumah panjang dan minum tapai beramai-ramai untuk hilangkan penat,” jelasnya lagi.

Makiong berharap gotong-royong atau ahuhuyu ini dapat diteruskan generasi kini dan akan datang agar ia tidak pupus selain menjadi landasan persaudaraan dan perpaduan yang boleh diwarisi generasi akan datang. – New Sabah Times

 
 
 

Comments


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page