Penduduk Kampung Masolog Kota Marudu tagih air bersih
7 Disember 2024
KOTA MARUDU: Meskipun jarak Kampung Masolog hanya 12 kilometer daripada pekan Kota Marudu di Utara Sabah, ratusan penduduk kampung itu masih belum dapat menikmati bekalan air bersih daripada Jabatan Air Sabah sejak dahulu, meskipun rayuan demi rayuan dibuat oleh penduduknya.
Menurut aktivis sosial dari Tandek, Jimson Majemal, setakat ini Kampung Masolog belum menerima bekalan air bersih sejak Sabah merdeka 60 tahun yang lalu.
Beliau yang juga mantan Penolong Pegawai Pendidikan Daerah Kota Marudu berkata Kampung Masolog mempunyai pelbagai kemudahan yang dibina oleh kerajaan, termasuk Sekolah Kebangsaan (SK) Masalog, Klinik Desa dan Dewan Serbaguna.
Katanya terdapat juga bangunan Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA), Tadika Kemas, masjid, balai raya, gereja, gerai makan, kedai runcit dan jalan raya berturap.
"Anehnya kampung yang berdekatan dengan pekan Kota Marudu ini masih belum menikmati bekalan air bersih dari Jabatan Air.
"Ramai penduduk disini berpendapat masa menunggu lebih 60 tahun itu terlalu lama, dan hairan mengapa kampung mereka terpinggir sedangkan setiap tahun peruntukan besar pembangunan luar bandar diberikan kepada Sabah," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Sehubungan itu Jimson berharap kerajaan Madani pimipinan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dapat memberi perhatian sewajarnya terhadap rayuan penduduk Kampung Masolog.
Beliau juga berharap Menteri Persekutuan yang juga Presiden Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO), Datuk Ewon Benedick dapat membantu membawa isu permasalahan rakyat itu ke kementerian berkenaan demi masa depan lebih baik penduduk di Kampung Masolog.
Comments