Penduduk Kg Gensurai mahu jalan ke sekolah diselenggara dengan baik
top of page
  • Wartawan Nabalu News

Penduduk Kg Gensurai mahu jalan ke sekolah diselenggara dengan baik


Gambar-gambar menunjukkan kerosakan jalan Kg Gensurai ke SK Gensurai yang rosak teruk.

9 Februari 2022

Oleh Wartawan Nabalu News KOTA BELUD: Para penduduk di Kg Gensurai mahukan pihak kerajaan menyelenggara jalan utama mereka ke sekolah SK Gensurai yang telah rosak teruk. Kerosakan jalan tersebut menyebabkan kesukaran para ibu bapa dan pengguna lain menghantar anak-anak ke sekolah dan urusan lain di luar kampung. Setiausaha Politik kepada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kadamaian, Carlye Lajimin menyatakan Pusat Khidmat ADUN Kadamaian menerima aduan daripada para penduduk berkenaan dengan kerosakan jalan tersebut yang belum dibaiki oleh pihak berwajib. Menurut beliau, jalan tersebut diletakkan di bawah penyelenggaraan jalan-jalan majlis daerah dan syarikat penyelenggara telah dilantik sebelum ini. “Semasa ADUN Kadamaian, Datuk Ewon Benedick berada dalam kerajaan sebelum ini, beliau telah mendapatkan peruntukan KPLB Persekutuan untuk membina konkrit jalan perhubungan desa di jalan ini. Beliau juga menyalurkan peruntukan ADUN untuk membina konkrit jalan di kampung ke laluan utama ini. Jalan konkrit tersebut masih digunakan sehingga hari ini. “Bagaimanapun, jalan dari kampung ini ke sekolah terlalu panjang dan sebahagian besar jalan masih perlu diselenggara. Justeru, kami mewakili penduduk Kg Gensurai meminta dan mendesak pihak kerajaan menunaikan tanggungjawab mereka menyelenggara jalan ini. Kegagalan penyelenggaraan jalan ini dan jalan-jalan utama lain di Kadamaian merupakan kegagalan kerajaan hari ini,” katanya. Menurut Carlye lagi, penduduk kampung juga telah mengadakan pungutan derma dan bergotong royong sendiri sebelum sesi persekolahan dibuka semula pada bulan lepas. “Ewon telah membangkitkan perkara ini dalam sidang DUN lepas, iaitu berkenaan dengan keperluan penyelenggaraan jalan-jalan ke sekolah dengan baik dan konsisten oleh syarikat penyelenggara yang dilantik oleh kerajaan. Beliau pastinya akan terus membangkitkan isu ini dalam sidang DUN yang seterusnya,” katanya.

bottom of page