- Wartawan Nabalu News
Penduduk Kg.Kaanapan Sugud mengeluh kerosakan jalan raya belum selesai
11 November 2022
Oleh Wartawan Nabalu News
PENAMPANG: Penduduk Kampung Kaanapan Sugud di sini, mengeluh kerosakan jalan raya di kampung itu, akibat tanah runtuh dan hakisan sejak banjir melanda kampung itu September tahun lalu belum lagi dibaikpulih sehingga kini.
Mereka juga meluahkan rasa kecewa kerana wakil rakyat yang mereka harapkan dapat membantu mencari jalan penyelesaian masalah itu, tidak pernah melawat atau meninjau kawasan itu.
Sehubungan itu atas keyakinan penduduk kampung terhadap calon Pakatan Harapan Parlimen Penampang Datuk Ewon Benedick sebagai bakal wakil rakyat baharu Penampang, mereka menjemput beliau untuk meninjau permasalahan itu.
Seorang penduduk Kg.Kaanapan Sugud, Pius Biniwi berkata, setiap kali hujan lebat dan banjir, mereka terpaksa meletakkan kereta di seberang jalan dan berjalan kaki kerana jalan raya berkenaan tidak dapat dilalui.
“Selain kerosakan jalan raya, satu lagi jambatan konkrit iaitu laluan kereta di kampung ini yang rosak akibat banjir sejak tahun lalu tetapi belum dibaiki sehingga kini.
“Oleh itu sya berharap para pengundi Penampang pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) dapat memberi sokongan dan mengundi calon wakil rakyat atau Ahli Parlimen yang benar-benar berjiwa rakyat, rajin turun padang melihat masalah penduduk kampung dan prihatin terhadap permasalahan penduduk Penampang secara keseluruhannya,” katanya.
Pius turut berterima kasih kepada Ewon atas keprihatinan dan kesediaan mendengar keluhan penduduk kampung.
“Walaupun beliau (Ewon) belum menjadi Ahli Parlimen di sini tetapi, saya dapat melihat kesungguhan dan keikhlasannya membantu penduduk kampung yang bermasalah,” katanya.
Sementara itu Ewon yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kadamaian berkata, kejadian bencana banjir yang berlaku September 2021 menyebabkan kerosakan dan hakisan jalan berkenaan namun sehingga kini kerajaan atau pihak berwajib belum mengambil tindakan sewajarnya.
“Saya dimaklumkan bahawa wakil rakyat tidak datang melawat dan tidak mengambil tindakan kepimpinan membaikpulih jalan raya dan aliran sungai di kawasan ini yang menjadi antara punca kerosakan jalan raya itu bertambah teruk.
“Saya amat simpati dengan cabaran yang terpaksa dilalui oleh penduduk. Saya difahamkan, penduduk kampung terpaksa bergotong-royong membersihkan dan mengalihkan kayu yang menghalang aliran air sungai bagi mengelak hakisan, setiap kali banjir.
“Inilah yang berlaku jika tidak ada kepimpinan untuk menangani permasalahan seperti ini. Penduduk terpaksa mengambil alih kerja yang sepatutnya dilaksanakan segera oleh Majlis Daerah, Jabatan Kerja Raya (JKR) atau syarikat konsensi terbabit,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas meninjau sendiri keadaan kerosakan jalan di kampung itu, hari ini.
Ewon yang juga mantan Menteri Pembangunan Luar Bandar Sabah berkata, beliau bersedia mengambil alih kepimpinan yang lebih agresif untuk membantu menyelesaikan masalah penduduk kampung.
“Saya akan melaksanakan kepimpinan yang lebih agresif di Penampang, antaranya membantu rakyat yang berhadapan dengan keperluan membaikpulih kerosakan jalan raya seperti ini,” katanya.
Kommentarer