Penduduk Kg Lasau Minunsud terima 200 kerusi baharu sumbangan Ewon

30 Julai 2024
Oleh Wartawan Nabalu News
KOTA BELUD: Dewan Komuniti Kampung Lasau Minunsud kini dilengkapi kemudahan 200 buah kerusi baharu menerusi sumbangan Ahli Dewan Undangan (ADUN) Kadamaian Datuk Ewon Benedick.
Penyerahan kemudahan ini disempurnakan secara simbolik oleh Pemaju Masyarakat di pejabat Unit Pemimpin Pembangunan Masyarakat (UPPM) Kadamaian, Clarence Somuil, yang mewakili Ewon kepada Pengerusi Dewan Lasau Minunsud, J'rizal Jussine, bersama-sama Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK), Kampung Lasau Minunsud, Andreas Petrus.
Sumbangan ini diluluskan Ewon ketika program Membudayakan Masyarakat Berkoperasi Sempena Hari Usahawan Tani untuk lapan buah kampung di Mukim Lasau, Kadamaian, Kota Belud pada 6 Julai lalu.
Sebanyak RM15,000 telah diumumkan Ewon untuk digunakan bagi pembelian 200 buah kerusi untuk Dewan Komuniti Kampung Lasau Minunsud, kos pengurusan, pemasangan meter elektrik dewan dan pembelian baju kebudayaan penari remaja Kampung Lasau Minunsud.
Andreas merakamkan kesyukuran, penghargaan dan ucapan terima kasih kepada Ewon atas keprihatinan dan komitmen beliau dalam memastikan komuniti kampung tersebut mendapat kemudahan yang diperlukan.
Dewan Komuniti Kampung Lasau Minunsud, yang siap sepenuhnya pada tahun 2019, juga adalah hasil usaha Ewon semasa beliau memegang portfolio Menteri Pembangunan Luar Bandar (KPLB) Sabah.
Penyerahan kerusi ini merupakan antara komitmen Ewon dalam membangunkan kemudahan infrastruktur dan memperbaiki kemudahan komuniti di Kadamaian.
Dengan sumbangan ini, Dewan Komuniti Kampung Lasau Minunsud kini lebih bersedia untuk menganjurkan pelbagai aktiviti kemasyarakatan dan kebudayaan, sekaligus memperkukuhkan lagi hubungan dalam kalangan penduduk kampung.
Комментарии