• Wartawan Nabalu News

Penduduk Kg. Niatang Pitas desak kerajaan selesai isu pemilikan tanah


29 September 2022

Oleh Wartawan Nabalu News


KOTA KINABALU: Sekumpulan penduduk Kampung Niatang Pitas mengadakan perhimpunan secara aman di hadapan Wisma Jabatan Tanah dan Ukur di sini, hari ini mendesak kerajaan menyelesaikan isu pemilikan tanah di kampung itu.


Perhimpunan itu melibatkan 40 pemohon tanah yang juga penduduk asal Kg.Niatang diketuai oleh Penyeleras Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Antarabangsa Malaysia (MHO) Sabah Kapt (B) Jerry Jaimeh.


Mereka menghantar memorandum kepada wakil pengarah Jabatan Tanah dan Ukur yang menggesa supaya siasatan dijalankan mengenai isu pemilikan tanah dan penangguhan kerja-kerja daripada syarikat terlibat di kampung itu.

Menurut Jerry, penduduk kampung mahu kerajaan negeri menjalankan siasatan terhadap isu pemilikan tanah berkeluasan hampir 500 ekar di kampung itu yang mereka pohon sejak 24 tahun yang lalu.


“Pihak MHO menerima aduan daripada wakil penduduk kampung dan menyuarakan masalah mereka serta meminta bantuan berkaitan masalah isu pemilikan tanah di Kg Niatang.

“Kampung ini pada asalnya adalah kawasan milik Lembaga Kemajuan Perhutanan Negeri Sabah (SAFODA). Namun, hasil permohonan penduduk kampung, kawasan tersebut telah dibubarwarta oleh SAFODA untuk dijadikan kawasan perkampungan dan bercucuk tanam penduduk kampung,” katanya.


Bagaimanapun, geran pemilikan tanah Kg.Niatang tidak pernah diluluskan walaupun permohonan telah lama dipohon sejak kawasan itu dibubarwarta.

“Permohonan PT untuk penduduk kampung telah dibuat sejak 1998 tetapi sehingga kini tiada kelulusan mahupun penolakan geran dikeluarkan keatas permohonan penduduk kampung.


“Sehubungan itu, kampung tersebut turut terlibat dalam kawasan tanah gazet kepada Lembaga Industri Getah Sabah (LIGS) sebagai tempat program penanaman getah berkelompok daerah Pitas bertujuan membasmi kemiskinan kerana daerah ini merupakan antara 10 daerah termiskin di Malaysia,” katanya.


Jerry menjelaskan, projek LIGS merupakan inisiatif kerajaan untuk membantu penduduk kampung meningkatkan taraf hidup dan membasmi kemiskinan di daerah tersebut.

“Projek ini dibuat di kawasan tersebut setelah mendapat pengesahan daripada Jabatan Tanah melalui surat bahawa tiada geran dikeluarkan keatas kawasan tersebut dan Jabatan Tanah mengesahkan bahawa kawasan tersebut adalah kawasan gazet untuk projek LIGS pada tahun 2016,” katanya.


Beliau berkata, isu pemilikan tanah mulai timbul apabila terdapat penyukatan tanah di Kg.Niatang oleh pihak-pihak lain yang bukan penduduk asal kampung itu tanpa penjelasan penduduk kampung.


Jerry berkata, tindakan pihak yang menyukat dan mengukur tanah tersebut tanpa penjelasan mahupan kebenaran dianggap sebagai menceroboh kawasan Kg Niatang.

“Penduduk telah membuat pelbagai bantahan dan dikemukakan kepada badan yang bertanggungjawab, namun bantahan mereka tidak mendapat maklum balas sehingga kini.


“Maka, penduduk kampung mahukan siasatan telus dilakukan keatas pemilikan tanah Kg.Niatang dan berikan pembelaan kepada penduduk yang merupakan penduduk asal kawasan itu,” katanya.


Jerry berkata, atas dasar kemanusiaan dan perhatian pihak berwajib, penduduk kampung memohon siasatan telus dan adil serta penjelasan mengenai situasi ini.


“Penduduk kampung juga memohon kepada Pengarah Tanah dan Ukur supaya kerja-kerja pembersihan tanah di kampung itu yang dilakukan oleh syarikat terlibat ditangguhkan serta-merta.

“Pihak kami memohon penangguhan kerja-kerja pembersihan tanah di Kg.Niatang atas dasar kemanusiaan terhadap nasib yang menimpa penduduk kampung,” katanya.


MHO adalah sebuah organisasi yang diasaskan atas dasar ingin membantu menegakkan hak-hak kemanusiaan, ditubuhkan sejak 17 Mac 2016 dan mempunyai beberapa pejabat di Semenanjung Malaysia termasuk di Sabah.