• Wartawan Nabalu News

Penduduk Kg Tugarangon berazam terus usahakan tanah untuk pertanian


Ewon bersama GERP

18 Jun 2022

Oleh Wartawan Nabalu News


KOTA BELUD: Penduduk kampung Tugarangon di sini menyatakan azam mereka untuk terus mengusahakan tanah masing-masing untuk dibangunkan sebagai aktiviti pertanian.


Pengerusi Persatuan Pekebun Kecil Nabalu, Justin Dalansu berkata, penduduk kampung kini mulai menikmati pendapatan hasil tanaman getah yang diberikan oleh Lembaga Getah Malaysia (LGM) pada tahun 2013.


“Pada tahun 2013, kita telah diberikan sebanyak 23,000 bibit getah daripada LGM yang disampaikan sendiri oleh Datuk Ewon Benedick selaku Ahli Lembaga Pengarah LGM pada ketika itu. Malah, beliau juga membantu mendapatkan peruntukan daripada LGM untuk menyelenggara jalan di kampung ini selepas itu.


“Hari ini, semua penduduk yang telah menerima dan menanam bibit getah tersebut sudah menoreh dan menikmati pendapatan. Selain itu, kami juga menanam tanaman lain untuk menambah pendapatan,” katanya.

Ewon ketika berucap

Menurut beliau, kampung tersebut juga kini telah menerima bekalan elektrik selain daripada bekalan air secara graviti.


Beliau turut mengucapkan terima kasih kepada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kadamaian yang menyalurkan sumbangan bagi menyelenggara jalan kampung dan juga paip graviti baru-baru ini.


Justin menyatakan demikian semasa berucap dalam sambutan kesyukuran tuaian pertanian kampung tersebut pada Jumaat yang turut dihadiri oleh Ewon.


Sementara itu, Ewon dalam ucapannya juga menyatakan perasaan gembira kerana penduduk telah menikmati pendapatan daripada program yang diusahakannya sebelum ini selaku Ahli Lembaga Pengarah LGM.

“Selaku Wakil Rakyat Kadamaian, saya juga berazam untuk terus melaksanakan amanah yang diberikan, iaitu memberi perkhidmatan kepada rakyat Kadamaian mengikut keupayaan terbaik saya dan juga mengambil bahagian dalam proses semak dan imbang ke atas Kerajaan kita,” katanya.

Pada sambutan tersebut, Ewon turut menerima kunjungan daripada badan bukan kerajaan (NGO) Gibbon Rehabilitation Project (GREP) yang memaklumkan perkembangan semasa projek pembinaan sementara rehabilitasi Kalawot di Kg Kiau Nuluh.