top of page

PENDUDUK RESAH, MINTA KERAJAAN AMBIL LANGKAH DRASTIK TANGANI MASALAH BANJIR

  • nabalunews
  • Jan 17, 2021
  • 2 min read

Perkarangan rumah Fathin digenangi air banjir.

17 Jan 2021


OLEH ERDIEHAZZUAN AB WAHID


KOTA KINABALU: Situasi banjir yang berlaku di beberapa buah daerah di negeri ini sejak lebih 24 jam yang lalu menimbulkan keresahan kepada penduduk terlibat ekoran hujan berterusan sejak petang kelmarin.


Sehingga jam 4 petang tadi, sekurang-kurangnya 10 daerah mengalami banjir berikut hujan lebat antaranya Sipitang, Beaufort, Papar, Putatan, Penampang, Kota Kinabalu, Tuaran, Kota Belud, Pitas dan Paitan (Beluran).

Pokok yang tumbang berhampiran rumah Yusni.

Banjir itu turut menjejaskan beberapa kawasan pekan antaranya di Pekan Manggatal, Pekan Donggongon Penampang dan Kinarut di Papar.


Penduduk Kampung Langsat Kinarut, Fathin Alliza Jamal berkata, hujan berterusan sejak kelmarin itu sememangnya sudah dijangka akan mengakibatkan banjir di kawasan rumahnya.


“Sebelum ini kawasan rumah saya seringkali dilanda banjir ketika hujan berterusan dan pernah juga yang lebih teruk sebelum ini namun kami sentiasa bersedia untuk menyelamatkan barangan penting.


“Memang tidak dinafikan banyak barangan rosak setiap kali musibah ini berlaku seperti perabot dan peralatan rumah lain,”katanya ketika dihubungi Nabalu News hari ini.


Fathin mengakui air banjir mulai naik sepenuhnya kira-kira jam 3 pagi tadi namun dilihat masih belum surut ekoran hujan masih berlarutan hingga kini.


“Saya berharap agar masalah banjir yang sering berlaku ini dapat diatasi dengan sebaiknya oleh pihak berwajib selain mencari solusi terbaik agar penduduk setempat tidak mengalami kerugian khususnya kerosakan barangan rumah.


“Banjir ini juga mengakibatkan kami tidak dapat keluar bekerja atau ke kedai bagi memerlukan keperluan harian,”katanya.


Sementara itu, penduduk Kampung Inanam Laut Yusni Mohd Yunus berkata, dia mengalami kerugian apabila beberapa barangan elektrik mengalami kerosakan akibat banjir yang berlaku.


“Hujan yang berlaku ini mengakibatkan rumah saya digenangi air kira-kira jam 8 malam semalam namun surut kira-kira jam 3 pagi tadi.


“Walaubagaimanapun, saya dan keluarga sentiasa bersiap-sedia sekiranya air ini kembali naik ekoran hujan masih belum berhenti sehingga kini,”katanya.


Yusni berkata, dia hampir ditimpa pokok tumbang berhampiran rumahnya akibat hujan berterusan namun bersyukur tidak mengalami sebarang kecederaan.


“Syukur, saya sempat menyelamatkan diri sebelum pokok berkenaan tumbang dan tellah dibersihkan oleh anggota Angkatan Pertahanan Malaysia (APM),”katanya.



 
 
 

Comments


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page