top of page

Penduduk Tambulion Ulu Sumbang 300kg Beras Untuk Mangsa Banjir Paitan

nabalunews
Feb 27
1 min read

Oleh: Romie Stanley DGuns


27 Februari 2026



KOTA BELUD: Sebanyak 300 kilogram beras serta pelbagai barangan keperluan lain berjaya dikumpulkan menerusi Kempen Solidariti Memohon Sumbangan bagi membantu mangsa banjir di daerah Paitan, bermula semalam di Kampung Tambulion Ulu.


Program anjuran Ketua Biro Wanita, Keluarga dan Kebajikan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Kampung Tambulion Ulu itu turut mengumpulkan makanan kering, selimut serta pakaian terpakai yang masih elok daripada sumbangan pendakatampung.


Ketua Biro berkenaan, Calleyza Gunting berkata, kempen solidariti itu dilaksanakan sebagai respons terhadap bencana banjir yang melanda kawasan Paitan baru-baru ini.

"Kami tergerak hati untuk membantu saudara-saudara kita di Paitan yang sedang berdepan kesukaran. Alhamdulillah, sambutan daripada penduduk kampung amat menggalakkan dan ini membuktikan semangat prihatin masih subur dalam komuniti kita," katanya.


Sementara itu, Ketua Kampung Tambulion Ulu, Daiman Basinau menyifatkan usaha berkenaan sebagai langkah murni yang menunjukkan semangat kebersamaan dan nilai prihatin dalam kalangan rakyat Sabah.

Pengerusi JKKK Kampung Tambulion Ulu, Boniface @ Doni Jiran merakamkan penghargaan kepada semua penyumbang serta Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) Borneo Club yang menyediakan pengangkutan ke pusat pengumpulan sumbangan di Kampung Nahaba.


"Kerjasama daripada semua pihak termasuk NGO memudahkan proses pengagihan bantuan ini. Segala sumbangan akan diselaraskan dan disalurkan kepada pihak berkaitan untuk diagihkan secara teratur kepada mangsa-mangsa yang memerlukan di Paitan," ujarnya.

Usaha murni warga Kampung Tambulion Ulu ini diharap dapat memberi sinar harapan dan kekuatan kepada mangsa banjir Paitan untuk bangkit semula menghadapi ujian yang menimpa.

 
 
 

Comments


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page