top of page

Pengalaman Kami Buktikan RCI PATI Perlu Tindakan Susulan dan Akauntabiliti – Rayner

  • nabalunews
  • 2 hours ago
  • 3 min read

TUARAN: Gesaan Ahli Parlimen Tuaran, Datuk Seri Panglima Wilfred Madius Tangau supaya kerajaan memperkukuhkan mekanisme pelaksanaan dan tindakan susulan terhadap laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) amat bertepatan dengan pengalaman yang pernah dilalui Pemuda UPKO Tuaran berhubung isu Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) di Sabah.


Naib Ketua Bahagian UPKO Tuaran merangkap Ahli Majlis Tertinggi UPKO, Rayner Ebi, berkata ketika memimpin Pergerakan Pemuda UPKO Tuaran, beliau sendiri pernah membuat laporan polis di Balai Polis Tuaran pada 7 Ogos 2022 berhubung salah seorang individu yang disebut dalam prosiding RCI PATI Sabah, Peer Mohamad Kadir.


Menurut laporan media ketika itu, Peer Mohamad merupakan saksi ke-116 dalam prosiding RCI berkenaan.


Rayner berkata laporan polis tersebut dibuat kerana pihaknya berpandangan bahawa perkara yang dibangkitkan dalam RCI tidak seharusnya berakhir sebagai laporan semata-mata, sebaliknya perlu disusuli dengan siasatan dan tindakan sewajarnya mengikut undang-undang.


“Pada 7 Ogos 2022, ketika saya masih memimpin Pemuda UPKO Tuaran, saya sendiri membuat laporan polis di Balai Polis Tuaran. Selepas itu, kami memberikan kerjasama apabila diperlukan dan saya kemudiannya turut hadir ke Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu untuk memberikan keterangan.


“Namun setelah hampir empat tahun berlalu, setakat pengetahuan kami tidak ada perkembangan lanjut yang dimaklumkan kepada kami mengenai kesudahan tindakan susulan terhadap perkara yang kami bangkitkan.


“Ini bukan soal menghukum mana-mana individu tanpa proses undang-undang. Prinsip keadilan dan hak setiap individu mesti dihormati. Tetapi selepas rakyat membuat laporan dan memberikan kerjasama kepada pihak berkuasa, rakyat juga berhak mengetahui apakah tindakan susulannya dan apakah kesudahannya,” katanya.


Rayner berkata persoalan mengenai perkara tersebut bukan hanya dibangkitkan oleh Pemuda UPKO Tuaran.


Pada 2024, beberapa aktivis dan pemimpin hak Sabah turut dilaporkan mendesak supaya hasil siasatan yang pernah diumumkan kerajaan negeri berhubung Peer Mohamad didedahkan kepada umum.


Menurut Rayner, keadaan itu menunjukkan persoalan mengenai tindakan susulan bukan perkara baharu dan masih menjadi perhatian masyarakat beberapa tahun selepas isu berkenaan mula dibangkitkan.


“Apabila persoalan yang sama terus dibangkitkan oleh pelbagai pihak selepas beberapa tahun, bagi saya ini memperlihatkan satu masalah yang lebih besar — iaitu bagaimana kita memastikan sesuatu perkara yang timbul daripada RCI benar-benar mempunyai tindakan susulan dan akhirnya mempunyai suatu penutup yang jelas.


“Jika siasatan telah selesai, maklumkan hasilnya mengikut batas undang-undang. Jika tiada kes atau tiada asas untuk tindakan lanjut, perkara itu juga boleh dijelaskan. Jika masih dalam siasatan, rakyat sekurang-kurangnya wajar mengetahui statusnya. Yang penting jangan dibiarkan tanpa kesudahan yang diketahui rakyat,” katanya.


Rayner berkata pengalaman tersebut memperlihatkan mengapa gesaan Madius supaya Akta Suruhanjaya Siasatan 1950 dipinda dan mekanisme akauntabiliti diwujudkan bagi setiap RCI wajar diberikan perhatian serius.


Menurutnya, sesebuah RCI melibatkan masa, kos, tenaga, keterangan saksi serta harapan rakyat untuk mendapatkan jawapan dan penyelesaian terhadap sesuatu isu besar.


“RCI PATI Sabah bukan isu kecil. Ia menyentuh soal keselamatan, kewarganegaraan, integriti dokumen pengenalan, demografi serta kedaulatan dan masa depan Sabah.


“Apabila kita dimaklumkan bahawa jawatankuasa susulan RCI hanya bermesyuarat 13 kali dalam tempoh lebih sedekad, sudah tentu rakyat berhak bertanya sejauh mana syor dan dapatan RCI itu telah diterjemahkan kepada tindakan sebenar,” katanya.


Beliau menyokong supaya setiap RCI mempunyai garis masa pelaksanaan yang jelas, kementerian atau agensi yang dipertanggungjawabkan, petunjuk prestasi, laporan kemajuan berkala serta mekanisme pemantauan oleh Parlimen.


“Rakyat tidak mahu RCI menjadi tempat sesuatu isu besar berakhir. RCI sepatutnya menjadi titik permulaan kepada penyelesaian.


“Pengalaman kami di Tuaran menunjukkan bahawa rakyat telah memainkan peranan mereka. Kami membuat laporan dan memberikan kerjasama apabila diperlukan. Maka adalah munasabah selepas hampir empat tahun untuk kita bertanya: apakah perkembangan dan kesudahan tindakan tersebut?


“RCI diwujudkan untuk mencari jawapan kepada persoalan besar yang menyentuh kepentingan awam. Sebab itu selepas laporan disiapkan, mesti ada pihak yang bertanggungjawab memastikan syor dan perkara yang memerlukan tindakan tidak sekadar tersimpan dalam laporan,” katanya.


Rayner berkata usaha Madius membawa semula persoalan keberkesanan tindakan susulan RCI PATI Sabah ke Parlimen wajar dilihat melangkaui kepentingan kepartian kerana isu tersebut menyentuh kepentingan Sabah dan generasi akan datang.


“Selepas lebih sedekad sejak RCI, persoalan rakyat sebenarnya sangat mudah: apa yang telah dilaksanakan daripada RCI PATI Sabah dan apa yang masih belum diselesaikan?


“RCI tanpa tindakan susulan hanya menghasilkan laporan. RCI yang disertai akauntabiliti, garis masa dan kewajipan melaporkan tindakan susulan barulah mampu menghasilkan penyelesaian.”

 
 
 

Comments


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page