top of page

Pengangguran Sabah 5 peratus, KSTI perkasa program padanan kemahiran

  • nabalunews
  • 4 hours ago
  • 2 min read

9 April 2026


KOTA KINABALU: Sabah mencatatkan kadar pengangguran sebanyak lima peratus bagi suku keempat 2025, mengatasi kadar nasional sekitar tiga peratus dengan pengangguran dalam kalangan belia melebihi 10 peratus.


Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Sabah, Datuk James Ratib berkata situasi itu menuntut tindakan segera khususnya dalam menangani isu ketidakpadanan kemahiran antara pencari kerja dan keperluan industri.


“Kerajaan akan memperkasakan komitmen dalam menangani isu pengangguran dan ketidakpadanan kemahiran melalui inisiatif pendidikan perburuhan yang bersifat inklusif serta menyeluruh.


“Latihan kemahiran perlu bergerak seiring dengan kehendak industri supaya Sabah tidak ketinggalan dalam arus pembangunan global, terutama dalam era ekonomi digital,” katanya.


Beliau berkata demikian ketika merasmikan Pelepasan Konvoi Jelajah Pendidikan Perburuhan Sabah 2026 anjuran Jabatan Tenaga Kerja (JTK) Sabah, di sini pada Selasa.


Konvoi itu dijangka menjadi platform mendekati masyarakat dengan penyaluran maklumat berkaitan hak perburuhan, peluang latihan serta laluan pembangunan kerjaya selain membantu merapatkan jurang antara kemahiran tenaga kerja dan keperluan pasaran.


Menurut James, program berkenaan menyasarkan usaha menangani pengangguran dan ketidakpadanan pekerjaan secara lebih menyeluruh melalui jelajah di lima lokasi utama iaitu Kota Kinabalu, Keningau, Tawau, Lahad Datu dan Sandakan


“Masyarakat bukan sahaja didedahkan kepada hak dan tanggungjawab dalam dunia pekerjaan, malah diberi peluang meningkatkan kemahiran serta pembangunan kerjaya,” katanya.


Dalam pada itu, beliau turut memuji sinergi antara agensi persekutuan dan negeri yang melibatkan lebih 10 agensi.


Ia termasuk KPSTI, Jabatan Tenaga Kerja (JTK), Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO), HRD Corp, National Institute of Occupational Safety and Health (NIOSH) dan Jabatan Pembangunan Sumber Manusia (JPSM), selain institusi latihan kemahiran.


Beliau berkata usaha bersepadu itu selaras dengan aspirasi Sabah Maju Jaya (SMJ) dalam memperkukuh pembangunan modal insan berteraskan ilmu, sains dan teknologi.


“Kita mahu melahirkan tenaga kerja Sabah yang lebih berilmu, berkemahiran tinggi dan berdaya saing agar tiada rakyat yang tercicir daripada arus pembangunan,” katanya.


Turut hadir, Pembantu Menteri KPSTI, Jordan Jude Ellron; Timbalan Setiausaha Tetap I KPSTI, Doria Tai Yun Tyng; Pengarah JTK Sabah, Wan Zulkifli Wan Setapa serta Pengarah PERKESO Sabah, Dr Mohd Ali Hindia.

 
 
 

Comments


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page