top of page

Pengedar Dadah Ditahan Bersama 62.24 Gram Syabu

  • nabalunews
  • 48 minutes ago
  • 1 min read

16 Januari 2026


KENINGAU: Seorang lelaki ditahan polis selepas dipercayai menjalankan aktiviti pengedaran dadah dalam operasi Ops Tapis di One Plaza Keningau, di sini, Sabtu lalu.


Lelaki berusia 21 tahun itu ditahan kira-kira jam 9 malam hasil risikan dan pemantauan yang dijalankan Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJN) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Keningau.


Ketua Polis Daerah Keningau, Superintenden Yampil Anak Garai, berkata pemeriksaan terhadap suspek menemui empat paket plastik pelbagai saiz.


Katanya, semua paket yang mengandungi ketulan hablur disyaki dadah jenis syabu dengan anggaran berat keseluruhan 62.24 gram.


“Pihak polis turut merampas sebuah kenderaan jenis Proton Saga BLM serta sebuah telefon bimbit iPhone 13 yang dipercayai digunakan berkaitan aktiviti pengedaran.


“Semua dadah yang dirampas dianggarkan bernilai RM6,846 berdasarkan harga pasaran semasa,” katanya dalam satu kenyataan.


Yampil berkata, suspek ditahan reman bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952, yang memperuntukkan hukuman berat jika disabitkan kesalahan.


Sehubungan itu, Yampil menegaskan IPD Keningau, khususnya BSJN akan terus mempergiatkan operasi dari semasa ke semasa secara agresif bagi membanteras kegiatan pengedaran serta penyalahgunaan dadah di daerah berkenaan.


“Usaha ini penting bagi memastikan keselamatan, ketenteraman dan kesejahteraan masyarakat Keningau sentiasa terpelihara,” tambahnya.

 
 
 

Comments


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page