WILDCAL Tingkat Konsistensi Hukuman Kes Jenayah Hidupan Liar di Sabah dan Sarawak
- nabalunews
- 1 minute ago
- 2 min read

16 Januari 2026
KOTA KINABALU: Mahkamah di Sabah dan Sarawak terus memperkukuh tadbir urus keadilan alam sekitar menerusi penggunaan The Wildlife Crime Sentencing Guidelines Calculator (WILDCAL).
Ia adalah sebuah kalkulator garis panduan hukuman bagi kes jenayah hidupan liar yang dilancarkan pada 24 April 2024.
Hakim Besar Sabah dan Sarawak, Datuk Azizah Nawawi berkata, WILDCAL dibangunkan dan diintegrasikan sepenuhnya ke dalam sistem e-Kehakiman Sabah dan Sarawak (eKSS).

Katanya, ia berasaskan garis panduan pensabitan hukuman sedia ada bagi kes jenayah hidupan liar di Sabah dan Sarawak yang masing-masing diperkenalkan pada 2019 dan 2022.
“Inisiatif ini bertujuan memperkukuh keseragaman serta ketelusan dalam penjatuhan hukuman. Sepanjang setahun pelaksanaannya, mahkamah di kedua-dua negeri telah berjaya mengaplikasikan garis panduan tersebut dengan lebih berkesan.
“Ia sekali gus meningkatkan konsistensi kadar denda dan penalti, serta keyakinan kehakiman dalam membuat keputusan. Penggunaan WILDCAL juga membantu melancarkan pengurusan kes, mengurangkan kelewatan prosiding, dan menyokong pegawai kehakiman dalam mengaplikasikan undang-undang secara lebih tepat,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Majlis Pembukaan Tahun Perundangan Sabah dan Sarawak 2026, di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC), di sini, hari ini.
Azizah berkata, bagi memastikan garis panduan kekal relevan dan responsif terhadap keperluan semasa, Kumpulan Kerja Alam Sekitar Sabah dan Sarawak, dengan kerjasama WWF-Malaysia, akan melaksanakan semakan menyeluruh terhadap Garis Panduan Pensabitan Hukuman Jenayah Hidupan Liar pada tahun ini.
“Proses semakan akan melibatkan konsultasi bersama pihak berkepentingan berkaitan. Seiring dengan semakan tersebut, WILDCAL akan dikemas kini bagi mencerminkan garis panduan yang dipinda.
“Setelah pengumpulan data selesai pada akhir 2026, elemen kecerdasan buatan (AI) dijangka akan diintegrasikan ke dalam WILDCAL pada 2027 bagi meningkatkan kecekapan analitik dan sokongan keputusan kehakiman,” katanya.
Menurutnya, langkah berterusan itu mencerminkan komitmen kehakiman Sabah dan Sarawak dalam memperkukuh perlindungan hidupan liar, memastikan hukuman yang adil dan konsisten, serta memanfaatkan teknologi bagi mempertingkat keberkesanan sistem keadilan.


















Comments