Penyelesaian jangka panjang perlu diutamakan atasi krisis air di Tawau akibat kebocoran paip lama
- nabalunews
- 27 minutes ago
- 1 min read

16 Januari 2026
TAWAU: Penyelesaian jangka panjang perlu diberi keutamaan berbanding kerja pembaikan sementara dalam usaha menangani krisis air di Tawau demi menjamin kestabilan bekalan dan kesejahteraan rakyat.
Ahli Jawatankuasa (AJK) DAP Sabah, Philip Yap (gambar) sehubungan itu menggesa Kerajaan Negeri melalui Jabatan Air Negeri Sabah agar segera mengambil langkah drastik dan berperingkat dalam mengenal pasti paip air yang usang.
Dalam masa yang sama, katanya, kerajaan juga perlu menyediakan peruntukan khusus bagi menggantikan paip-paip lama yang dikenalpasti itu.
Menurutnya, penggantian paip air lama bukan sahaja dapat mengurangkan kejadian gangguan bekalan air di Tawau, malah mampu mengurangkan kerugian akibat Non-Revenue Water (NRW), iaitu kehilangan air akibat kebocoran yang akhirnya akan membebankan jabatan.
Katanya, gangguan bekalan air yang kerap berlaku di Tawau kebanyakannya disebabkan oleh paip air bocor atau pecah akibat tekanan air yang tinggi, dan keadaan itu diburukkan lagi dengan faktor usia paip air yang kebanyakannya digunakan sejak lebih 30 tahun lalu.
“Paip-paip yang sudah terlalu lama ini tidak lagi mampu menampung tekanan air yang tinggi. Apabila berlaku kebocoran atau pecahan, ini bukan sahaja mengganggu penduduk di kawasan perumahan, malah memberi kesan besar kepada premis perniagaan, khususnya kedai makan yang sangat bergantung kepada bekalan air sebagai sumber asas operasi,”katanya.
Menurutnya lagi, kekerapan gangguan bekalan air menjejaskan operasi perniagaan kedai makan, apatah lagi dalam keadaan ekonomi yang masih mencabar, kerana tanpa bekalan air, perniagaan terpaksa dihentikan dan peniaga pula menanggung kerugian.
Tegasnya, kawasan perumahan lama serta kawasan komersil lama juga perlu diberi perhatian segera kerana paip air di kawasan tersebut berisiko tinggi mengalami kebocoran memandangkan usia sistem perpaipan yang mencecah lebih tiga dekad.


















Comments