top of page

Pengedar Dadah Ketamin dan Ekstasi Ditahan

  • nabalunews
  • 4 hours ago
  • 1 min read

6 Februari 2026


PENAMPANG: Seorang lelaki ditahan selepas dikesan menjalankan kegiatan pengedaran dadah jenis serbuk ekstasi dan ketamin dalam operasi yang dijalankan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah, pada Rabu.


Dalam operasi kira-kira jam 11 malam itu, lelaki berusia 37 tahun terbabit itu turut ditahan bersama 498.01 gram serbuk dipercayai ekstasi di dalam kereta dipandunya.


Ketua JSJN Sabah, Asisten Komisioner Alhusin Halil berkata, hasil pemerhatian di hadapan sebuah kondominium di daerah ini, pasukan operasi berjaya menahan suspek yang memandu kereta Toyota Altis.


Katanya, pemeriksaan yang dijalankan membawa kepada penemuan 15 paket plastik mengandungi serbuk disyaki dadah jenis ekstasi.


"Pasukan serbuan turut menemui enam paket kecil mengandungi dadah disyaki jenis ketamin seberat 15.10 gram di dalam kenderaan sama.


"Turut dirampas 65 batang rokok disyaki mengandungi dadah dengan keseluruhan rampasan dianggarkan bernilai RM14,450,” katanya ketika dihubungi, hari ini.


Menurutnya, siasatan awal mendapati suspek mengaku memiliki semua dadah yang dirampas dan dipercayai memperoleh bekalan daripada seorang individu.


"Bekalan dadah jenis ekstasi dan ketamin itu dipercayai dihantar ke sebuah pusat hiburan, dengan kuantiti sekitar 15 paket ekstasi dan 25 gram ketamin.


"Suspek juga dipercayai aktif menjalankan kegiatan pengedaran dadah sejak Oktober tahun lalu," katanya.


Menurutnya, siasatan masih diteruskan termasuk mengesan rangkaian pengedaran dadah yang dipercayai terbabit serta sumber bekalan dadah berkenaan.


"Kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952, yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara seumur hidup jika sabit kesalahan.


"Suspek kini direman bagi membantu siasatan lanjut dan polis tidak menolak kemungkinan tangkapan susulan akan dibuat bagi menjejaki rangkaian pengedaran dadah berkenaan.

 
 
 
photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page