Pengembara dijangkiti Covid-19 tidak perlu jalani kuarantin wajibPengembara dijangkiti Covid-19 tidak perlu jalani kuarantin wajib
top of page
  • Wartawan Nabalu News

Pengembara dijangkiti Covid-19 tidak perlu jalani kuarantin wajib



13 Januari 2022

Oleh Wartawan Nabalu News


KUALA LUMPUR: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menetapkan bahawa pengembara yang pernah dijangkiti Covid-19 dalam tempoh 11 hari hingga 60 hari dan telah lengkap vaksinasi Covid-19, tidak perlu menjalani kuarantin wajib setibanya di negara ini.


Menteri Kesihatan, Khariy Jamaluddin berkata, bagaimanapun, mereka masih perlu melakukan ujian pengesanan Covid-19 menggunakan RTK Ag di hadapan petugas kesihatan Kerajaan atau swasta yang ditempatkan di Pintu Masuk Antarabangsa (PMA) Malaysia.


“Manakala bagi pengembara yang belum lengkap vaksin atau tidak menerima vaksin, mereka perlu menjalani kuarantin wajib selama tujuh hari di stesen kuarantin yang ditetapkan oleh kerajaan,” katanya dalam satu kenyataan kelmarin.


Mengulas lanjut, Khairy berkata ketetapan terkini itu berdasarkan data dan bukti saintifik serta pengalaman negara-negara lain berkaitan pengurusan kemasukan pengembara yang pernah dijangkiti Covid-19.


Menurut beliau, pengembara yang pernah dijangkiti Covid-19 juga perlu mengemukakan bukti sudah lengkap divaksin, telah dijangkiti Covid-19 dalam tempoh 11 hari hingga 60 hari sebelum berlepas ke Malaysia, melalui keputusan ujian makmal yang dicetak atau secara digital.


“Pengembara yang mempunyai sejarah kemasukan ke hospital kerana dijangkiti Covid-19 juga perlu mengemukakan surat "Fit to Travel" daripada pengamal perubatan di hospital tersebut.


“Bagi pengembara yang menjalani isolasi atau pengasingan di tempat kediaman termasuk hotel kerana dijangkiti Covid-19 dan tidak dimasukkan ke hospital, mereka perlu menjalani ujian saringan RTK Ag profesional dalam tempoh dua hari sebelum berlepas ke Malaysia. Hanya individu dengan keputusan negatif sahaja dibenarkan meneruskan perjalanan.


“Kesemua dokumen berkaitan perlulah dikemukakan dan ditunjukkan kepada pihak berkuasa penerbangan dan kesihana di PMA sekiranya diminta,” jelasnya lagi.


Ketetapan baharu berkaitan prosedur operasi standard (SOP) mengenai kemasukan ke Malaysia bagi pengembara yang pernah dijangkiti Covid-19 akan berkuat kuasa mulai hari ini.


Sementara itu bagi pengembara yang tidak pernah dijangkiti Covid-19, ketetapan semasa masih terpakai, kata Khairy.

photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page