Pengerusi JKKK diseru laksana tugas dengan berintegriti
- nabalunews
- 3 days ago
- 2 min read

12 April 2026
KUNAK: Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) diingatkan agar melaksanakan tugas dengan jujur, amanah dan berintegriti bagi memastikan perancangan pembangunan serta dasar-dasar kerajaan dapat memberi manfaat kepada masyarakat.
Pembantu Menteri Pembangunan Belia, Kemajuan Sukan dan Ekonomi Kreatif, Datuk Seri Anil Sandhu, berkata Pengerusi JKKK yang dipilih wajar melaksanakan tugas mereka dengan telus dan memastikan organisasi pentadbiran kampung dibawah jagaan mereka bekerjasama dalam segala aspek tindakan berasaskan prinsip moral dan etika yang kukuh.
“Dalam membantu masyarakat, jauhi amalan nepotisme (kekeluargaan) atau sentimen yang boleh memecahbelahkan perpaduan. Laksanakan tugas dengan berintegriti.
“Jika ada kemusykilan, dapatkan pandangan dan nasihat daripada Unit UPPM atau Pejabat Daerah untuk kita sama-sama mencari penyelesaian terhadap sebarang isu atau masalah rakyat di kampung”, katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas sesi taklimat Majlis Penyerahan Watikah Perlantikan Pengerusi JKKK kawasan DUN Kunak yang diadakan di Bilik Mesyuarat Boheyan, Pejabat Daerah Kunak, baru-baru ini.
Anil turut mengingatkan Pengerusi JKKK supaya mengamalkan akauntabiliti dalam melaksana tanggungjawab tanpa sebarang konflik.
Katanya, masa berpolitik sudah berlalu dan fokus utama ketika ini ini adalah untuk membangun dan memajukan kampung.
“Kerjasama antara badan JKKK, Pejabat Daerah dan unit UPPM adalah keutamaan kita bagi memastikan setiap perancangan pembangunan dan kesejahteraan rakyat dapat dilaksana”, katanya.
Sementara itu, Pegawai Daerah Kunak Majaran Osman berkata, pelantikan Pengerusi JKKK adalah satu amanah yang besar.
“JKKK merupakan nadi kepada pentadbiran kampung dan menjadi jambatan utama antara kerjaaan dan rakyat di peringkat akar umbi.
“Struktur JKKK di setiap kampung pada tahun ini telah diselaraskan daripada lapan biro sebelum ini kepada enam biro sahaja. Penstrukturan ini bertujuan untuk meningkatkan kecekapan, memperkemas fungsi serta memastikan setiap biro dapat berperanan dengan lebih fokus dan efektif.
“Dalam konteks daerah Kunak, kita berhadapan dengan pelbagai keperluan komuniti - daripada aspek kebajikan penduduk, keselamatan kampung, kebersihan persekitaran, sehinggalah kepada pembangunan ekonomi, termasuklah sektor perikanan, pertanian dan perusahaan kecil. Semua ini memerlukan peranan aktif dan komitmen tinggi daripada JKKK”, kata Majaran.
Sehubungan itu, Majaran menyeru agar semua pihak bekerjasama, bersatu hati dan bertindak sebagai satu pasukan yang mantap, mendengar suara rakyat dan bertindak dengan penuh integriti serta keikhlasan.















Comments