Pengerusi JKKK Kampung Tambulion Ulu Terima Sumbangan Kemanusiaan untuk Mangsa Banjir Paitan
- nabalunews
- 6 hours ago
- 1 min read

Oleh: Kidd
27 Februari 2026
KOTA BELUD: Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Kampung Tambulion Ulu, Boniface @ Doni Jiran, telah menerima sumbangan kemanusiaan bagi membantu mangsa-mangsa banjir di Paitan.
Sumbangan tersebut merupakan sebahagian daripada usaha berterusan masyarakat luar bandar dalam menzahirkan solidariti dan keprihatinan terhadap keluarga yang terjejas akibat bencana alam yang melanda daerah berkenaan baru-baru ini.
Bantuan berkenaan telah disampaikan oleh Nemi Talib dari Kampung Tengkurus sebagai tanda sokongan moral dan keprihatinan terhadap nasib mangsa banjir. Inisiatif ini jelas mencerminkan semangat kebersamaan dan perpaduan masyarakat setempat yang sentiasa tampil menghulurkan bantuan ketika berdepan situasi kecemasan dan kesusahan.
Turut menyokong usaha kemanusiaan ini ialah Guru Besar Sekolah Kebangsaan Tengkurus, Sisom Awang, yang menyatakan komitmen pihak sekolah dalam menyemai nilai keprihatinan, empati serta semangat tolong-menolong dalam kalangan warga sekolah dan komuniti setempat.
Beliau berharap usaha seumpama ini dapat diteruskan secara berterusan demi melahirkan generasi yang cakna dan bertanggungjawab terhadap kebajikan masyarakat.
Sementara itu, pihak JKKK Kampung Tambulion Ulu merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih atas segala sumbangan serta sokongan yang diberikan oleh semua pihak. Bantuan yang diterima akan disalurkan secara teratur dan berperingkat kepada mangsa-mangsa banjir di Paitan.
Semoga setiap usaha murni ini diberkati dan mampu memberikan manfaat serta sinar harapan kepada mereka yang memerlukan, katanya.















Comments