Pengerusi Pewarta Tawau meninggal dunia
- nabalunews
- Oct 16
- 1 min read

16 Oktober 2025
TAWAU: Pengerusi Persatuan Wartawan dan Pengamal Media Tawau (Pewarta), Shamry Mohd Sani, 46, dilaporkan meninggal dunia di Hospital Tawau, hari ini.
Timbalan Pengerusi Pewarta, Tamrin Jamil berkata, pemergian Allahyarham amat mengejutkan dan merupakan satu kehilangan besar buat warga media di Tawau serta seluruh ahli persatuan.
Menurutnya, allahyarham dikenali sebagai seorang pemimpin yang berdedikasi, sabar, mudah didekati serta sentiasa membantu rakan-rakan wartawan tanpa mengira latar belakang.
"Di bawah kepimpinan beliau, Pewarta berkembang sebagai wadah penyatuan wartawan tempatan yang aktif dalam aktiviti kebajikan dan kemasyarakatan. Pemergian Allahyarham meninggalkan kesan mendalam kepada seluruh warga media di Tawau,"katanya hari ini.
Katanya, Allahyarham bukan sahaja seorang pemimpin, tetapi juga sahabat yang sangat memahami, sentiasa memberi dorongan dan menjadi sumber inspirasi kepada ramai wartawan muda.
"Pihak Pewarta turut menzahirkan ucapan takziah dan simpati yang mendalam kepada keluarga Allahyarham, serta mendoakan agar roh beliau ditempatkan dalam kalangan orang-orang beriman dan beramal soleh,"katanya.
Untuk rekod, Shamry berkecimpung dalam dunia kewartawanan hampir 30 tahun sebagai wartawan Utusan Borneo dan selepas itu menyertai TV3 sebagai wakil daerah Tawau sebelum menumpukan perhatian kepada perniagaan dan politik.
Beliau meninggalkan seorang balu dan tiga orang anak.


















Comments