Pengesanan awal kanser payudara penting
19 Oktober 2024
Oleh : Wartawan Nabalu News
SANDAKAN : Tahap kesedaran kanser, terutama sekali kanser payudara, masih boleh dianggap rendah di kalangan orang ramai di Sandakan.
Meskipun seramai 350 orang telah menjalani saringan mammogram pada tahun lalu, namun jumlah ini dianggap kecil jika dibandingkan dengan populasi keseluruhan.
Ini mungkin berpunca daripada beberapa faktor, termasuk kekurangan pengetahuan tentang kepentingan saringan awal, stigma sosial serta akses terhad kepada perkhidmatan kesihatan.
Untuk meningkatkan kesedaran dan penyertaan dalam saringan awal, program pendidikan kesihatan yang lebih meluas, kempen kesedaran, serta penyediaan perkhidmatan kesihatan yang lebih mudah diakses adalah amat penting.
Langkah-langkah seperti ini boleh membantu orang ramai memahami bahawa pengesanan awal kanser payudara boleh meningkatkan peluang rawatan yang berjaya dan mengurangkan kadar kematian.
Ahli Parlimen Sandakan, Vivian Wong Shir Yee, berkata, dalam hal ini, pengesanan awal penting dalam mengetahui tahap kesihatan semasa seperti seperti kanser payudara di samping saringan kesihatan yang lain.
Jelasnya, mengikut data peringkat kebangsaan, 50 peratus pesakit kanser payudara sudah berada di tahap 3 dan 4 semasa di kesan.
Manakala seramai 16,430 orang dikesan mengidap kanser pada tahun 2017 hingga 2021 di negara ini.
Tambahnya, kanser payudara juga adalah pembunuh nombor satu wanita di seluruh dunia.
Kaum lelaki juga tidak terlepas dari risiko menghidap kanser itu.
Vivian menyatakan perkara itu ketika berucap di Pink Oktober Carnival sempena Bulan Kesedaran Kanser Payudara Peringkat Sandakan di Dewan Kompleks Sukan Sandakan hari ini.
Turut hadir, Pengarah Hospital Duchess Of Kent (HDOK), Sandakan, Dr. Mohd Fahmie Othman, Ketua Jabatan Pembedahan Am selaku penyelaras Program Pink Karnival Sandakan, Dr. Lai Chung Ket, Pegawai kesihatan Kawasan Sandakan, Dr. Mohd Faiz, Presiden Persatuan Progressif Wanita Sabah (WASA), Florence Datuk Paul Baklin dan Naib Presiden WASA, Sante Villiamon, wakil Sandakan Pink Ribbon, pejuang kanser, pakar, doktor dan pengunjung setempat.
Program ini dianjurkan untuk memberi peluang kepada orang awam mengetahui lebih lanjut mengenai penyakit yang amat ditakuti itu selain perkongsian ilmiah daripada pegawai dan pakar perubatan tentang kanser payudara serta perkongsian pengalaman pejuang kanser yang diharap dapat menjadi sumber inspirasi kepada semua.
Kempen kesedaran ini juga bertujuan meningkatkan kesedaran orang ramai mengenai kepentingan mengesan kanser lebih awal agar peratusan untuk pesakit sembuh, lebih tinggi.
Berdasarkan rekod HDOK Sandakan, daerah ini mencatatkan anggaran 40 hingga 60 orang pesakit telah dikesan menghidap kanser payudara setiap tahun di mana 80 peratus dikesan sudah berada pada tahap 3 dan 4.
Seramai 30 hingga 40 pesakit kanser itu juga menjalani rawatan di HDOK Sandakan setiap tahun.
Manakala anggaran 10 hingga 20 pesakit termasuk kategori palliative kerana tahap kanser yang telah lanjut dan tidak sesuai untuk dibedah.
Justeru, melalui karnival itu, ia diharap dapat memberi kesedaran kepada orang awam dalam meningkatkan bilangan saringan mammogram kepada sekurang-kurangnya 800 saringan dalam setahun.
Vivian juga menyambut baik karnival berkenaan dalam memberikan orang ramai mengenai kanser itu dan kepentingan pengesanan awal dilakukan.
Sepanjang tahun 2022, sebanyak 2.3 juta kes baru kanser payudara telah dikesan di dunia dengan kadar kematian seramai 670,000 orang.
Satu daripada 8 orang wanita berisiko mendapat kanser payudara.
Manakala kaum lelaki menyumbang 1 peratus daripada jumlah kanser payudara.
Comments