Pengetua SM St Michael terima pengiktirafan tertinggi Anugerah Langkawi bagi Kelestarian Alam Sekitar
- nabalunews
- Oct 23, 2024
- 2 min read

23 Oktober 2024
LANGKAWI: Pengetua Cemerlang Sekolah Menengah (SM) St Michael, Penampang, Jennifer Asing, telah menerima Anugerah Langkawi-Kelestarian Alam Sekitar (ALKAS) bagi kategori individu sempena Sambutan Hari Alam Sekitar Negara (HASN) 2024 Peringkat Kebangsaan di sini, malam Isnin lalu.
Jennifer, 54, menerima pengiktirafan itu dalam bentuk sijil, plak dan hadiah wang tunai berjumlah RM50,000, yang telah disampaikan oleh Raja Muda Kedah, Tengku Sarafudin Badlishah Sultan Sallehuddin.
Penghargaan ini diberikan atas sumbangan besar beliau dalam melestarikan alam sekitar melalui pelbagai inisiatif inovatif dan program komuniti.
Dalam temu bual bersama media
selepas majlis penyampaian anugerah tersebut, Jennifer menyatakan rasa terkejutnya apabila dimaklumkan bahawa beliau telah dipilih untuk menerima pengiktirafan tertinggi daripada Jabatan Alam Sekitar (JAS) itu.
“Saya amat terkejut apabila mendapat tahu saya dipilih untuk menerima anugerah ini. Saya percaya pengiktirafan ini bukan hanya kerana sumbangan saya di sekolah, tetapi juga di peringkat negeri, kebangsaan dan antarabangsa. Kami telah melaksanakan banyak inovasi berasaskan kelestarian alam sekitar yang telah diiktiraf di pelbagai peringkat,” kata Jennifer.
Di bawah kepimpinan beliau, SM St Michael telah berjaya memperoleh sebanyak 12 pengiktirafan daripada Malaysia Book of Records (MBOR), semuanya berkaitan dengan usaha penjagaan dan pemuliharaan alam sekitar.
Antaranya adalah projek penanaman halia terbesar, yang melibatkan penyertaan ibu bapa, pelajar, guru, serta komuniti setempat.
Jennifer turut merakamkan penghargaan dan terima kasih kepada seluruh warga sekolah, komuniti, ibu bapa, dan pihak yang telah menyokong usaha-usaha sekolah dalam melaksanakan projek-projek alam sekitar tersebut.
Beliau menegaskan bahawa anugerah yang diterima ini bukan sahaja penghargaan peribadi, tetapi juga kejayaan bersama untuk seluruh warga Sabah yang telah komited dalam usaha pemuliharaan alam sekitar.
Sejak menceburi dalam dunia pendidikan pada tahun 1996, Jennifer aktif dalam melaksanakan pelbagai program alam sekitar yang tidak hanya memberi manfaat kepada pelajar, tetapi juga kepada komuniti setempat melalui program Komunikasi, Pendidikan dan Kesedaran Awam (CEPA).
Peranan beliau dalam menyemai kesedaran dan menggerakkan tindakan komuniti ke arah kelestarian alam sekitar menjadikan beliau contoh teladan yang dihormati dalam bidang pendidikan dan pemuliharaan.
Comentários