top of page

KKR digesa ambil tindakan tegas kontraktor sambil lewa

  • nabalunews
  • 3 hours ago
  • 2 min read

ree

8 Disember 2025


KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menggesa Kementerian Kerja Raya (KKR) mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana kontraktor bersikap sambil lewa atau gagal melaksanakan projek mengikut jadual.


Beliau menegaskan perkara itu penting kerana KKR bertanggungjawab terhadap pelbagai projek pembangunan yang membabitkan kepentingan rakyat.


"Banyak projek infrastruktur ini tonggaknya KKR, jika berjaya, berjayalah pembangunan itu. Jadi, kementerian perlu senaraikan semua projek, berapa ratus projek atau mungkin ribu di negara kita, pastikan rekod prestasi mereka, jangan tunggu sehingga selesai.


“Kalau asyik sambil lewa dan lambat, kita nak (KKR) ambil sikap lebih keras pada kontraktor,” katanya ketika berucap pada Majlis Perhimpunan Bulanan KKR di ibu negara, hari ini.


Dalam masa sama, Anwar turut meminta KKR untuk terus memantau dengan teliti dan mengambil tindakan segera jika terdapat sebarang halangan yang boleh menyebabkan kelewatan pelaksanaan projek.


Menurut beliau, KKR perlu menyemak semula keseluruhan senarai projek di bawah kementerian itu dan memastikan setiap projek direkodkan dengan jelas, termasuk status kemajuan, pihak pelaksana dan masalah yang dikenal pasti.


"Selain tanggungjawab terhadap negeri, kementerian juga perlu menyenaraikan semua projek seperti yang telah ditetapkan. Pastikan setiap projek direkodkan prestasinya dan jangan menunggu sehingga projek siap untuk mengambil tindakan.


“Saya mahu senarai lengkap semua projek,berapa banyak yang sedang berjalan, lokasinya, siapa kontraktornya, serta prestasi mereka. Kita tidak boleh menunggu sehingga projek selesai sebelum menyedari ia lewat,” ujarnya.


Tambah beliau, mesyuarat pemantauan kini akan dibuat lebih kerap dan secara lebih terperinci, termasuk sesi turun padang bersama unit terlibat dan agensi pelaksana bagi mengenal pasti kelewatan awal di tapak pembinaan.


Menurutnya, setiap perkembangan, tindakan dan kecekapan kerajaan perlu dirasai rakyat supaya keberkesanan pelaksanaan projek tidak dipersoalkan.


Beliau merujuk keadaan di Sabah, di mana beberapa projek infrastruktur berdepan isu, khususnya membabitkan bekalan air, elektrik dan jalan raya.


“Kita baru selesai pilihan raya, saya faham mereka marah. Menteri silih berganti, kerajaan silih berganti, perdana menteri silih berganti, tetapi air belum berganti, elektrik pun begitu, jalan berlubang-lubang, jadi mereka resah, belum cukup yakin…saya tak salahkan mereka.


“Kerajaan telah luluskan jumlah kewangan paling besar dalam sejarah, keseluruhan perbelanjaan pembangunan dan operasi untuk Sabah RM17 bilion, air hampir RM1 bilion, elektrik RM1.2 bilion, tetapi belum siap. Jadi, kita kena faham derita mereka, selagi belum siap, dia berasa terpinggir,” katanya.

 
 
 

Comments


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page