RM4.83 bilion untuk projek tebatan banjir di Sabah, Sarawak
- nabalunews
- 2 hours ago
- 2 min read

2 Mac 2026
KUALA LUMPUR: Sebanyak RM4.83 bilion disalurkan kerajaan bagi melaksanakan 25 projek tebatan banjir di Sabah dan Sarawak sebagai pendekatan struktur untuk menangani risiko banjir di kawasan berisiko tinggi.
Timbalan Perdana Menteri, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, di Sabah, sebanyak 15 projek bernilai RM1.49 bilion sedang dilaksanakan, manakala di Sarawak 10 projek bernilai RM3.34 bilion turut berada dalam pelbagai peringkat pelaksanaan.
Beliau yang juga Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air berkata, projek berkenaan merupakan sebahagian daripada 140 projek RTB yang telah diluluskan di seluruh negara termasuk projek baharu dan sambungan.
“Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) melalui Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) melaksanakan projek RTB sebagai langkah mitigasi banjir di kawasan berisiko tinggi di Pantai Timur, Sabah dan Sarawak dengan mengambil kira faktor perubahan iklim yang semakin mencabar.
“Projek ini merangkumi pembinaan struktur mitigasi seperti ban sungai, tembok banjir, kolam takungan, pintu kawalan air serta sistem pam,” katanya di Dewan Rakyat pada Isnin.
Beliau menjawab soalan Datuk Siti Zailah Mohd Yusoff (PN– Rantau Panjang) berhubung penambahbaikan serta peruntukan pengurusan risiko banjir susulan luruan monsun berterusan hingga Mac 2026 serta di kawasan berisiko tinggi terutama di Pantai Timur, Sabah dan Sarawak.
Sementara itu Fadillah memaklumkan di Pantai Timur, sebanyak 29 projek bernilai RM9.377 bilion telah dikenalpasti dan kini berada dalam pelbagai peringkat pelaksanaan.
“Sebagai penambahbaikan, reka bentuk projek-projek RTB kini mengambil kira faktor perubahan iklim atau Climate Change Factor (CCF) dalam pengiraan teknikal.
“Pendekatan ini bertujuan memastikan setiap projek yang dilaksanakan lebih berdaya tahan dan mampu menampung impak perubahan iklim pada masa hadapan,” ujarnya.
Selain itu, katanya bagi mengurangkan risiko banjir termenung khususnya di kawasan rendah, JPS telah menempatkan sebanyak 606 unit pam bergerak di seluruh negara melibatkan aset JPS Negeri dan JPS Malaysia.
Jelas Fadillah, langkah tersebut bertindak sebagai sokongan operasi bagi mempercepatkan proses pengepaman air semasa kejadian hujan lebat berterusan.
Menurutnya dari segi pendekatan bukan struktur pula, PETRA melalui JPS melaksanakan perancangan bersepadu menerusi Pelan Induk Tebatan Banjir (PITB).
“Bilangan PITB akan terus ditingkatkan berdasarkan tempoh sah pelan perubahan guna tanah, pertumbuhan penduduk, serta peningkatan kekerapan dan intensiti hujan semasa.
“Sehingga kini, sebanyak 14 PITB telah dan sedang dilaksanakan di kawasan Pantai Timur, manakala 12 PITB lagi dilaksanakan di Sabah dan Sarawak,” jelasnya.
Katanya, pelaksanaan langkah berstruktur dan bukan struktur itu mencerminkan komitmen berterusan kerajaan dalam memperkukuh daya tahan negara terhadap perubahan iklim serta memastikan pengurusan banjir yang lebih sistematik dan menyeluruh di kawasan berisiko tinggi.















Comments