Video tular pijak Al-Quran rakaman lama di Singapura - MCMC
- nabalunews
- 4 days ago
- 1 min read

2 Mac 2026
KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) mengesahkan video tular yang memaparkan individu memijak al-Quran baru-baru ini, adalah rakaman lama dikenal pasti berlaku di Singapura pada 2024.
MCMC dalam kenyataan memaklumkan, siasatan awal mendapati individu terbabit adalah warga Singapura dan tindakan awal diambil menerusi kerjasama dengan pengendali platform media sosial untuk menghentikan penyebaran rakaman berkenaan.
"MCMC menerima aduan daripada orang awam berhubung kandungan berkenaan yang dimuat naik semula sehingga mencetuskan kegusaran dan ketegangan dalam kalangan masyarakat.
"Justeru, kerjasama dengan pihak platform media sosial seperti Threads, Facebook dan TikTok sedang dijalankan bagi memastikan tindakan sewajarnya diambil, termasuk menyekat penyebaran serta akses kandungan berkenaan di Malaysia,” menurut kenyataan itu.
Suruhanjaya itu menegaskan, penyebaran kandungan yang menyentuh sensitiviti agama dan boleh menjejaskan keharmonian masyarakat majmuk adalah tidak bertanggungjawab serta boleh dikenakan tindakan undang-undang.
Sehubungan itu, orang ramai dinasihatkan agar tidak memuat naik, berkongsi atau menyebarkan semula kandungan tersebut.
"Sebarang maklumat berkaitan boleh disalurkan kepada MCMC melalui pautan https://aduan.mcmc.gov.my atau kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk tindakan lanjut," kata MCMC.















Comments