top of page

Penggiat seni digalak hasilkan lebih banyak lagu baharu bahasa etnik Sabah

  • nabalunews
  • Jul 11, 2025
  • 2 min read
Joniston menyampaikan anugerah lagu terbaik keseluruhan kepada Lyron Felix untuk lagunya berjudul Hangadon Zou
Joniston menyampaikan anugerah lagu terbaik keseluruhan kepada Lyron Felix untuk lagunya berjudul Hangadon Zou

11 Julai 2025


PENAMPANG: Kerajaan Negeri sentiasa menyokong dan menggalakkan para penggiat seni tempatan untuk menghasilkan lebih banyak lagu baharu dalam bahasa etnik Sabah.


Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor berkata, lagu-lagu dan muzik etnik ini bukan sekadar gubahan melodi dan lirik, tetapi turut mencerminkan sejarah serta budaya masyarakat berbilang kaum di negeri ini.


“Dalam hal ini, lagu dan muzik etnik Sabah mesti terus disokong oleh masyarakat, khususnya generasi muda, bagi menyemarakkan semangat untuk memartabat dan memelihara muzik etnik negeri ini,” katanya.


Beliau berkata demikian pada majlis perasmian upacara Anugerah Lagu SABAHVfm 2025 di Hongkod Koisaan KDCA, Penampang semalam.


Teks ucapan beliau disampaikan oleh Pembantu Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar, Datuk Joniston Bangkuai.


Hajiji berkata, Kerajaan Negeri juga sentiasa menyokong usaha-usaha murni untuk memartabatkan seni, budaya dan bahasa tempatan seperti program Anugerah Lagu SABAHVfm.


“Saya yakin bahawa dengan adanya program-program sebegini, bakat-bakat baharu akan terus dicungkil dan industri muzik etnik Sabah akan terus bersinar.


“Kerajaan Negeri komited untuk bekerjasama dengan RTM Sabah dan agensi lain pada masa hadapan bagi memastikan lebih banyak program berimpak tinggi seperti ini dapat dilaksanakan.


“Kita akan terus berusaha untuk menyediakan sokongan yang diperlukan agar industri seni dan budaya di Sabah terus berkembang pesat,” katanya.


Hajiji menyatakan bahawa program Anugerah Lagu SABAHVfm juga selaras dengan aspirasi Kerajaan Negeri untuk melihat industri muzik tempatan terus berkembang maju.


"Program ini juga mencerminkan komitmen RTM Sabah dalam mendekati masyarakat serta menggalakkan penghasilan karya seni baharu yang berkualiti tinggi.


“Anugerah Lagu SABAHVfm ini amat signifikan kerana ia menyediakan platform untuk lagu-lagu etnik Sabah diketengahkan bukan sahaja di peringkat negeri, malah ke peringkat global menerusi platform seperti Aplikasi RTM Klik dan laman Facebook RTM Sabah serta SABAHVfm. Ini adalah satu langkah proaktif yang harus dicontohi.


“Program seperti ini membuka peluang kepada para pengiat seni, khususnya pencipta lagu-lagu etnik, untuk mengembangkan bakat dan karya mereka,” katanya.


Hajiji mengucapkan tahniah kepada semua finalis yang telah berjaya ke peringkat akhir.


“Kehadiran anda semua di sini adalah bukti komitmen dan kecintaan terhadap muzik etnik Sabah,” katanya, dan berharap program ini terus menjadi pemangkin kepada kemajuan muzik etnik Sabah.

 
 
 

Comments


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page