Pengguna Internet Perlu Bijak, Waspada Terhadap Ancaman Scam – Armizan
- nabalunews
- 3 days ago
- 2 min read

23 Ogos 2026
PAPAR: Masyarakat perlu menjadi pengguna internet yang bijak dan sentiasa berwaspada terhadap ancaman scam serta pelbagai bentuk penipuan dalam talian yang semakin berleluasa.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali berkata, perkembangan pesat teknologi dan penggunaan internet membuka banyak ruang serta peluang yang memberi manfaat kepada masyarakat, namun pada masa sama turut disalahgunakan pihak tidak bertanggungjawab untuk melakukan kegiatan yang menyalahi undang-undang.
“Dalam banyaknya ruang dan peluang kebaikan internet itu, kita melihat ada pihak-pihak tertentu yang mengambil kesempatan melakukan tindakan yang bertentangan dengan undang-undang, contohnya aktiviti scam, penipuan dan sebagainya.

“Peningkatan kes penipuan dari semasa ke semasa menunjukkan keperluan masyarakat meningkatkan kewaspadaan serta menggunakan internet secara bijak dan bertanggungjawab.
“Kempen Internet Selamat (KIS) penting bagi meningkatkan kesedaran masyarakat supaya lebih berhati-hati ketika menggunakan platform digital, selain tidak mudah terpedaya dengan pelbagai bentuk penipuan dalam talian,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas merasmikan Kempen Internet Selamat Daerah Papar 2026, di sini.

Armizan berkata, semangat kemerdekaan juga perlu diterjemahkan menerusi sikap bertanggungjawab dalam penggunaan ruang digital, termasuk menjaga keharmonian dan perpaduan dalam kalangan masyarakat.
Menurutnya, penggunaan internet secara selamat, beretika dan bertanggungjawab mencerminkan kematangan rakyat dalam memanfaatkan kemajuan teknologi dengan sebaiknya.
Beliau berharap kesedaran mengenai keselamatan dalam talian terus dipertingkatkan supaya masyarakat bukan sahaja dapat memanfaatkan kemudahan internet, malah mampu melindungi diri daripada menjadi mangsa penipuan dan jenayah siber.
Katanya, pembudayaan penggunaan internet secara selamat dan bertanggungjawab juga penting dalam usaha membina masyarakat yang lebih peka terhadap ancaman digital, sekali gus menyumbang kepada keharmonian, perpaduan dan kesejahteraan negara.
Turut hadir Pengarah Jabatan Penerangan Malaysia Negeri Sabah, Jainisah Mohd Noor; ADUN Limbahau, Datuk Juil Nuatim; ADUN Kawang, Datuk Seri Ghulam Haidar Khan Bahadar; dan ADUN Pantai Manis, Datuk Pengiran Saifuddin Pengiran Tahir Petra.
Terdahulu, Armizan turut merasmikan Program Kembara Merdeka Jalur Gemilang (KMJG) Daerah Papar di Dewan Terbuka Kampung Sekayan.















Comments