Pengguna turut beli secara online, saingi bazaar fizikal - Ewon
top of page
  • Wartawan Nabalu News

Pengguna turut beli secara online, saingi bazaar fizikal - Ewon

Ewon ketika ditemui pemberita pada program itu.

28 Mac 2024

Oleh Wartawan Nabalu News


PUTRAJAYA: Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Ewon Benedick berkata, trend pengguna masa kini yang lebih cenderung membuat pembelian secara online menyaingi jualan secara fizikal.


Beliau berkata, ini kerana pembelian secara dalam talian lebih mudah, menyenangkan dan lebih pantas.

Sehubungan itu katanya, Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) meneruskan kempen Mari Beli Lokal - Ramadan dan Raya 2024 menerusi platform MyMall bagi merancakkan lagi ekonomi digital dan menggalakkan orang ramai membeli produk tempatan.


“Kita telah melancarkan Kempen Mari Beli Lokal dan satu kempen secara online untuk membeli barangan tempatan daripada usahawan kita melalui platform Mymall.

Ewon menyampaikan hadiah kepada salah seorang pengunjung bertuah pada program itu.

“Ini merupakan satu trend baharu dalam urusan jual beli dan mungkin juga telah menyumbang kepada penurunan jualan secara langsung atau secara fizikal kerana mereka mahu mengelak daripada kesesakan jalan raya dan sebagainya,” katanya.


Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita pada Program Jualan MADANI Raya (PJMR) KUSKOP 2024, di Dataran Putrajaya, semalam.


Program ini bermula sejak 8 Mac sehingga 9 April ini, menyediakan 60 reruai jualan melalui penyertaan 28 usahawan (42 reruai) dan 13 koperasi (18 reruai) dengan pelbagai tawaran menarik barangan keperluan persiapan Aidilfitri dan harian pada kadar harga diskaun sehingga 20 peratus sekali gus membantu meringankan bebanan rakyat.


Ewon berkata, jumlah pengunjung dalam tempoh dua minggu pertama program Jualan MADANI Raya KUSKOP, seramai 44,212 orang dengan jualan terkumpul sebanyak RM415,800.

Ewon bersama Ramanan meninjau jualan MADANI Eaya KUSKOP.

“Mudah-mudahan dalam dua minggu yang terakhir ini, jumlah jualan terus meningkat. Saya mengalu-alukan warga Putrajaya dan penduduk sekitar untuk berkunjung ke sini dan membeli keperluan persiapan raya,” katanya.


Beliau berkata, program ini merupakan inisiatif KUSKOP bagi memberi peluang kepada usahawan dan koperasi menjual produk-produk mereka seperti aksesori raya, pakaian, kuih dan barangan keperluan harian lain.


“Saya sempat mengunjungi beberapa reruai dan bertanyakan prestasi jualan mereka. Mudah-mudahan mereka terus beroleh rezeki dengan kehadiran lebih ramai lagi pengunjung dalam tempoh dua minggu terakhir ini,” katanya.


Pada tahun ini, KUSKOP menyasarkan RM1.6 juta nilai jualan sepanjang penganjuran Program Jualan MADANI Raya.


Ewon yakin program seumpama ini berupaya meringankan kos persiapan rakyat bagi menyambut Aidilfitri yang bakal menjelang tiba.

Ewon melancarkan sesi Happy Hour.

Antara pengisian menarik semasa sesi walkabout ialah pelancaran sesi Happy Hour dengan tawaran diskaun harga barangan sehingga 30 peratus dan penyampaian hadiah cabutan bertuah berupa peralatan elektrik dan hamper sumbangan agensi-agensi di bawah KUSKOP.


Turut serta dalam tinjauan jualan itu ialah Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi dan Dato' Ramanan Ramakrishnan, Pengurusan Tertinggi KUSKOP dan ketua-ketua Agensi di bawah KUSKOP.

bottom of page