Penggunaan aplikasi digital dan media sosial penting untuk promosi produk pelanconganPenggunaan aplikasi digital dan media sosial penting untuk promosi produk pelancongan
top of page
  • Wartawan Nabalu News

Penggunaan aplikasi digital dan media sosial penting untuk promosi produk pelancongan


Ewon berucap semasa majlis penutupan Program Kemahiran Asas Digital.

19 Dis 2021 Oleh Wartawan Nabalu News KOTA BELUD: Pengusaha eko-pelancongan terutamanya di kawasan luar bandar perlu mempelbagaikan kaedah pemasaran dan promosi produk pelancongan termasuk menggunakan media sosial. Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kadamaian Datuk Ewon Benedick berkata, ini kerana pemasaran atau promosi melalui media sosial kini dilihat lebih berkesan untuk menarik pelancong dari seluruh dunia. “Oleh itu saya berharap lebih ramai pengusaha pelancongan komuniti mempelajari asas kemahiran digital untuk meningkatkan ilmu pengetahuan seperti yang dianjurkan Persatuan Pelancongan Komuniti Kampung Sayap dan Universiti Malaysia Sabah (UMS).

Ewon (tengah) bergambar bersama para peserta dan pengurusan penganjur program tersebut.

“Pada masa kini penggunaan media sosial seperti Tiktok, Facebook, Instagram dan Youtube semakin popular dikalangan masyarakat umum, sebab itu para pengusaha pelancongan perlu bijak menggunakan platform ini untuk memasarkan produk pelancongan mereka,” katanya. Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan penutupan Program Kemahiran Asas Digital di Kampung Sayap semalam.

Para peserta semasa program tersebut.

Program selama dua hari itu disertai 24 orang pengusaha eko pelancongan, pengusaha lodge dan homestay, pengusaha cafe dan kraf tangan dari Kampung Sayap. Program itu bertujuan untuk meningkatkan pengetahuan pembuatan laman sesawang (Website), pemasaran produk pelancongan melalui media sosial, penciptaan poster, pembelajran Linked dan platform produk perniagaan. Mengenai jalan raya di kampung itu, Ewon berharap jalan berkenaan dapat dinaiktaraf untuk memberi keselesaan kepada penduduk serta pelancong yang berkunjung ke sini.

“Berdasarkan maklum balas daripada Timbalan Ketua Menteri Datuk Bung Moktar semasa persidangan dewan undangan negeri baru-baru ini, projek menaiktaraf jalan Sayap-Mansulit dan Podos-Taginambur sedang ditender Jabatan Kerja Raya (JKR). “Oleh itu, adalah menjadi tanggunjawab saya untuk memastikan ianya dimulakan mengikut jadual. “Penaiktarafan jalan berkenaan penting sebab kalau kita bawa pelancong melalui platform media sosial sekalipun, mereka mungkin nampak lawa di video, tetapi bila sampai sini dia akan merasakan rupa-rupanya jalan raya ini perlu dicantikkan dan itu tanggungjawab kerajaan dan saya ada tanggungjawab di sana untuk memastikan Kerajaan terus melaksanakan tanggungjawab mereka membantu kita,” katanya.

Ewon ketika berucap.

Sementara itu seorang peserta kursus, Siti Aminah @ Santia Enggang, 51, berkata beliau bersyukur dan gembira kerana berpeluang mengikuti program tersebut. “Selama ini saya memang tahu menggunakan Facebook, Instagram dan Tiktok tetapi bukan untuk tujuan promosi produk pelancongan. Setelah mengikuti kursus ini, kami mempelajarinya lebih mendalam bagaimana untuk mempromosikan produk-produk pelancongandi Kampung Sayap,” katanya. Katanya lagi, selain platform media sosial, beliau juga turut mempelajari kegunaan aplikasi lain seperti Canva untuk membuat poster dengan mudah dan cepat serta Linktree yang di mana sebelum ini mereka langsung tidak tahu.

Bagi Jesmon Yamin, pengusaha Kowatuan Eco Edu Tourism, program seumpama itu memberikan banyak manfaat kepada pengusaha eko pelancongan kampung itu. “Ilmu baru yang kami pelajari ialah bagaimana mengambil gambar dan video menarik dengan menggunakan aplikasi media social seperti Tiktok, Facebook dan Instagram untuk mempromosikan produk pelancongan kami. “Selain itu, kami juga mempelajari bagaimana membuat poster yang menarik melalui Canva, ianya senang dipelajari dan digunakan,” katanya

bottom of page