Penggunaan Bahasa Melayu dalam urusan rasmi kerajaan perlu diperkasa: Cuepacs
top of page
  • Farah Salim

Penggunaan Bahasa Melayu dalam urusan rasmi kerajaan perlu diperkasa: Cuepacs



27 Feb 2022

Oleh Farah Salim


KUALA LUMPUR: Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) berharap kerajaan bertegas melaksanakan cadangan penggunaan Bahasa Melayu bagi setiap urusan rasmi kerajaan termasuk semasa lawatan kerja di luar negara.


Presidennya Datuk Adnan Mat berkata, ini adalah langkah berani yang diambil kerajaan dalam usaha untuk memartabatkan semula bahasa Melayu.


Beliau berkata, pihaknya tidak melihat perkara itu satu masalah kerana seperti yang dinyatakan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, kecanggihan teknologi masa kini tidak menghalang untuk bahasa diterjemahkan dalam tempoh yang singkat.


"Jika negara lain boleh melakukannya, mengapa kita perlu banyak alasan untuk melaksanakannya. Cuepacs berharap kerajaan bertegas dalam melaksanakan cadangan ini terutamanya melibatkan urusan rasmi di dalam negara sendiri.


"Penggunaan bahasa Melayu dalam apa jua urusan rasmi kerajaan di dalam negara wajar dilakukan terlebih dahulu sekiranya mahu ia dilaksanakan secara meluas di luar negara,” katanya dalam laporan Bernama, hari ini.


Adnan berkata, ketika ini masih banyak agensi kerajaan yang menganjurkan majlis tetapi tidak menggunakan bahasa Melayu sebagai medium penyampaian dan perkara itu juga wajar diperluaskan di badan-badan berkanun Persekutuan dan negeri.


Pada Sabtu, Perdana Menteri dalam lawatannya ke Thailand berkata Malaysia akan menggunakan bahasa Melayu dalam setiap urusan rasmi termasuk pada mesyuarat dan persidangan antarabangsa sebagai usaha untuk memartabatkan Bahasa Kebangsaan.


Ismail Sabri berkata, beliau menggunakan Bahasa Melayu ketika mesyuarat dua hala dan sidang media bersama semasa melakukan lawatan rasmi ke Brunei serta Kemboja sebelum ini dan yang terbaharu, Thailand.

photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page