Penghargaan Untuk Rakyat: RON95 Turun RM1.99 Seliter
- nabalunews
- Jul 23, 2025
- 2 min read

23 Julai 2025
PUTRAJAYA: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan harga petrol RON95 turun kepada RM1.99 seliter selepas penyasaran subsidi bahan bakar itu dilaksanakan kelak.
Beliau berkata, kerajaan kekal dengan perancangan menyasarkan subsidi petrol RON95 dengan perincian bakal diumumkan menjelang akhir September ini.
“Ini tentunya akan memberi manfaat kepada sekitar 18 juta pemandu kereta dan penunggang motosikal termasuk belia seawal usia 16 tahun dan pekerja gig,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam Pengumuman Penghargaan Untuk Rakyat Malaysia yang turut disiarkan secara langsung melalui stesen televisyen tempatan hari ini.
Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, mereka yang tidak layak seperti warga asing perlu untuk membayar pada harga pasaran tanpa subsidi.
Menurutnya, pendekatan bersasar ini sejajar dengan ikhtiar kerajaan untuk mengoptimum sumber negara bagi manfaat rakyat dan mengurangkan pembaziran subsidi.
“Bagi tahun 2023 dan 2024, subsidi RON95 sahaja dianggarkan menelan belanja hampir RM20 bilion setahun.
“Sungguhpun tahun ini harga minyak dunia mengalami penyusutan, harga petrol RON95 tanpa subsidi masih sekitar RM2.50 seliter jauh lebih tinggi daripada harga bersubsidi untuk rakyat,” katanya.
Dalam pada itu Anwar berkata, kerajaan komited menyasarkan perbelanjaan subsidi negara dengan rakyat kekal menikmati dengan rakyat biasa kekal menikmati subsidi sementara menangani ketirisan kepada mereka yang tidak layak.
Penurunan harga petrol RON95 ini merupakan sebahagian daripada inisiatif penghargaan luar biasa untuk rakyat yang dimaklumkan Perdana Menteri minggu lalu.
Inisiatif lain diumumkan termasuk pemberian bantuan tunai RM100 secara one-off menerusi Program Sumbangan Asas Rahmah (SARA) kepada setiap warga setiap warganegara dewasa berusia 18 tahun dan ke atas sempena sambutan Hari Kebangsaan 2025.
Selain itu, turut diumumkan pengisytiharan 15 September 2025 sebagai hari kelepasan am tambahan bersempena sambutan Hari Malaysia tahun ini.
Manakala peruntukan untuk Jualan Rahmah MADANI tahun ini ditingkatkan kepada RM600 juta melibatkan usaha menambah kekerapan dan memperluas jumlah lokasi diseluruh negara meliputi 600 kawasan dewan undangan negeri.















Comments