Penghuni UCA2 diminta terus simpan bekalan air secukupnya
14 November 2021
Oleh Wartawan Nabalu News
KOTA KINABALU: Penghuni Taman Perumahan UCA2 di sini, dinasihatkan supaya terus menyimpan bekalan air secukupnya setiap kali bekalan air disalurkan ke blok perumahan itu.
Pihak Pengurusan UCA2 melalui Whatsapp kepada para penghuni perumahan itu berkata, mereka komited menyelesaikan semua masalah secepat mungkin.
“Oleh kerana tiada kemasukan air dari paip utama Pihak Jabatan Air Negeri Sabah (JANS) sejak jam 6.30 pagi pada 12 November lalu sehingga sekarang, simpanan air dalam tangki kekal berada di tahap kritikal maka saluran air tidak dapat disalurkan berdasarkan masa yang dijadualkan dalam notis paparan Pihak Pengurusan UCA2.
“Oleh itu kami meminta para penghuni supaya terus menyimpan bekalan air secukupnya setiap kali bekalan air disalurkan ke blok perumahan UCA2,” kata pihak pengurusan UCA2.
Menurutnya lagi, pihak pengurusan UCA2 telah mengambil beberapa tindakan sejak 5 November lalu sehingga kini termasuk mendesak pihak berwajib melalui Jurutera Daerah JANS menyalurkan sejumlah 316,000 liter air ke dalam "Ground Tank" UCA2.
“Pihak Pengurusan UCA2 juga menempah bekalan air terawat sebanyak 20 buah lori tangki. Berdasarkan info terkini daripada pembekal lori tangki swasta pada 9:30 malam (13 November) giliran UCA2 untuk mula mendapat bekalan tersebut dianggarkan pada sekitar tengahari hari ini (14 November).
“Sebagai alternative, pihak pengurusan turut menyediakan pengagihan bekalan air terawat bergerak dalam perimeter UCA2 (ke setiap blok perumahan) dari pagi hingga jam 11.00 malam,” katanya.
Sementara itu seorang penghuni UCA2 mendakwa, belum menerima bekalan air yang dihantar pada hari ini seperti yang dinyatakan pihak pengurusan.
“Saya juga berharap pihak pengurusan menampal notis pemberitahuan di setiap blok bangunan UCA2 bagi membolehkan semua penghuni membacanya dengan jelas.
“Bukan semua penghuni dapat menerima dan membaca pesanan seperti itu yang diedarkan melalui whatsapp,” katanya.
留言