Pengiktirafan Kinabalu Global Geopark oleh UNESCO mesti diterjemah kepada aktiviti ekonomi rakyat - Ewon
nabalunews
14 hours ago
2 min read

11 Oktober 2026
KOTA BELUD: Timbalan Ketua Menteri III Sabah Datuk Ewon Benedick berkata, pengiktirafan Kinabalu Global Geopark oleh UNESCO perlu diterjemahkan kepada manfaat ekonomi yang dapat dirasai oleh rakyat, khususnya komuniti di sekitar Gunung Kinabalu.
Beliau berkata, pengiktirafan itu membawa makna besar kepada Sabah, namun usaha susulan perlu dilaksanakan bagi meningkatkan pendapatan, membuka peluang pekerjaan dan memperbaiki kehidupan masyarakat setempat.
“Cabaran besar untuk semua kita ialah bagaimana pengiktirafan oleh UNESCO tersebut diterjemahkan dan dicairkan menjadi aktiviti ekonomi yang dirasai oleh rakyat.
“Pengiktirafan ini memberi makna yang besar kerana khazanah utama kita, Gunung Kinabalu, telah mendapat pengiktirafan UNESCO. Mudah-mudahan pengiktirafan ini dapat diterjemahkan kepada manfaat ekonomi untuk Sabah secara umumnya dan rakyat atau komuniti di sekitar Gunung Kinabalu secara khususnya,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap menyempurnakan perasmian penutupan Tamu Geopark Kota Belud, antara pengisian sambutan Tamu Besar Kota Belud 2026, di sini, hari ini.
Ewon yang juga Menteri Pembangunan Perindustrian, Keusahawanan dan Pengangkutan Sabah berkata, Kota Belud mempunyai kelebihan untuk membangunkan kegiatan ekonomi berasaskan pelancongan kerana memiliki pakej aset semula jadi yang lengkap.
Katanya, kekayaan alam daerah itu merangkumi pulau, laut, pantai, sungai, hutan, bukit dan Gunung Kinabalu, yang perlu diketengahkan melalui pembangunan pakej pelancongan serta penjenamaan khas.
“Kita mempunyai Pulau Mantanani, lautan, pantai, Sungai Kadamaian, Sungai Tampasuk dan Gunung Kinabalu. Dari puncak gunung hingga ke laut, semuanya ada dalam satu daerah.

“Cabaran kita sekarang ialah bagaimana kekayaan ini dapat dibangunkan sebagai satu pakej pelancongan dengan penjenamaan khas untuk Kota Belud, khususnya dalam konteks Geopark Kinabalu,” katanya.
Menurut beliau, strategi pemasaran dan penjenamaan perlu diperkukuh bagi menarik lebih ramai pelancong, sekali gus memperluas peluang pendapatan kepada masyarakat.
Katanya, manfaat daripada kehadiran pelancong perlu turut dinikmati oleh pengusaha inap desa, pemandu pelancong, pengusaha makanan, pembuat kraftangan dan peniaga kecil.
“Apabila pelancong datang, kita mahu mereka menikmati keindahan alam, mengenali budaya masyarakat dan membeli produk yang dihasilkan oleh penduduk setempat. Dengan cara ini, manfaat ekonomi dapat dinikmati oleh lebih ramai anggota masyarakat,” katanya.
Sehubungan itu, Ewon berkata, kerjasama erat antara kementerian yang bertanggungjawab terhadap pelancongan dengan kementeriannya penting supaya pakej pelancongan dan produk tempatan dapat dibangunkan bersama.

Beliau berkata, pelancongan merupakan sektor perkhidmatan, manakala produk seperti pakaian, parang, makanan dan hasil tempatan yang dibeli pelancong turut melibatkan sektor pembuatan.
“Oleh itu, perlu ada kerjasama yang erat antara kementerian yang bertanggungjawab terhadap pelancongan dengan kementerian saya supaya pakej pelancongan dan produk tempatan dapat dibangunkan bersama,” katanya.
Dalam masa sama, beliau berkata, pengiktirafan UNESCO turut membawa tanggungjawab kepada komuniti di kawasan Kinabalu untuk memulihara khazanah alam serta menghormati hukum adat dan budaya setempat.
Ewon turut merakamkan penghargaan kepada Kementerian Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah, khususnya Taman-Taman Sabah, atas penganjuran Tamu Geopark yang menjadi acara tahunan susulan pengiktirafan KUGGp pada 2023.















Comments