top of page

Pengisian Patriotisme Wajar Terus Disemarakkan – Fahmi

  • nabalunews
  • Sep 20, 2024
  • 2 min read

20 September 2024


PUTRAJAYA: Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil berkata semangat patriotisme perlu terus disemarakkan dan dihayati oleh seluruh rakyat Malaysia, walaupun Sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia (HKHM) 2024 telah berakhir dengan jayanya.


Menurut beliau, pengisian nilai-nilai patriotik tidak seharusnya terhenti selepas bulan Ogos dan September. Sebaliknya, rakyat Malaysia digalakkan untuk terus menunjukkan rasa cinta kepada negara melalui pelbagai cara, termasuk mengibarkan Jalur Gemilang sebagai simbol kebanggaan sepanjang masa.


“Program 1 Rumah 1 Jalur Gemilang berjalan dengan baik, dan kita perlu usahakan sedikit pengisian dan memberi fokus kepada generasi Alpha agar mereka memahami makna simbol Jalur Gemilang, termasuk erti 14 bucu pada bintang.


“Saya minta Jabatan Penerangan (Japen) usahakan satu modul untuk Komuniti MADANI agar mereka memudahkan pemahaman (masyarakat),” katanya seperti dilaporkan Bernama.


Fahmi berkata demikian ketika berucap pada Perhimpunan Bulanan Kementerian Komunikasi Bulan September di sini, hari ini.


Fahmi berkata berkata kejayaan Program 1 Rumah 1 Jalur Gemilang, juga memberi peringatan memastikan projek atau program kementerian akan datang diuruskan dengan lebih baik tanpa sebarang ketirisan.


Fahmi berharap Kementerian Komunikasi terus memainkan peranan penting dalam membantu kementerian lain untuk menyampaikan mesej dan dasar program mereka kepada masyarakat.


“Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim minta Kementerian Komunikasi bantu promosi Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agro Pelancongan Malaysia (MAHA) yang akan berakhir Ahad ini.


“Saya dah minta RTM, Bernama dan Japen untuk tingkatkan promosi. Ini tidak bermaksud kita ambil alih tugas Unit Komunikasi Korporat kementerian lain, tetapi kita perlu selaraskan beberapa perkara supaya tidak timbul tanggapan, kita tidak bantu mereka,” katanya.


Beliau juga meminta Japen untuk meneliti dan menjelaskan kepada warga kementerian mengenai Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA) sekiranya ada dalam kalangan petugas masih kurang jelas mengenai perkara tersebut.


Pegawai awam mempunyai tempoh opsyen selama 40 hari bermula 21 Oktober hingga 30 November ini untuk memilih sama ada SSPA atau kekal dengan Sistem Saraan Malaysia (SSM), sebelum ia berkuat kuasa 1 Disember ini.


Pekeliling Perkhidmatan Bilangan 1 Tahun 2024 (Pelaksanaan Sistem Saraan Perkhidmatan Awam Bagi Pegawai Perkhidmatan Awam Persekutuan) boleh diakses melalui portal www.sspa.jpa.gov.my.

Comments


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page